USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MASALAH SISTEM PERNAFASAN MASALAH UTAMA JEMAAH HAJI

PULAU PINANG, 7 April 2016 – Jumlah jemaah haji yang semakin bertambah menimbulkan masalah kesihatan khususnya masalah sistem pernafasan.

Demikian menurut Doktor Perunding Kanan Pernafasan Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, Profesor Dato’ Dr. Haji Abdul Razak Muttalif, yang turut berkata, pada tahun 2016 sebanyak 39,817 kes jemaah haji yang terdiri daripada warga emas direkodkan mempunyai masalah sistem pernafasan dan mudah berjangkit seperti Pneumonia dan Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD).  

Dalam pada itu, Pensyarah Mikrobiologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Zakuan Zainy Idris turut bersetuju dengan kenyataan Abdul Razak.

“Menurut kajian kami yang dijalankan pada tahun 2007, terdapat lebih 91% jemaah haji mempunyai masalah pernafasan seperti batuk, sakit tekak, paru-paru dan asma,” jelas Zakuan.

“Sehingga tahun 2016, kita masih lagi berdepan dengan masalah sistem pernafasan jemaah haji apabila 70% daripada mereka masih mengalami masalah ini,” katanya dalam forum ‘The Consequences of Mass Gathering on Health and Medical’ sempena persidangan Regional Conference on Hajj 2016 (RCHAJJ'16) di The Gurney Resort Hotel and Residence, Penang di sini hari ini.

Walaupun masalah ini belum menemui kaedah yang sesuai untuk mengawalnya tetapi kadar kematian berkurang daripada 250 kes kematian pada tahun 1995 menurun kepada 39 kes kematian pada tahun 2016.

Zakuan dan beberapa ahli pasukannya telah memperkenalkan madu lebah dari pokok Tualang yang berupaya mengurangkan jangkitan kuman dalam sistem pernafasan dalam kalangan jemaah haji.

Pengerusi Jabatan Penyelidikan Prince Mohamed b. Abdul Aziz Hospital, Profesor Dr. Ziad A Memish berkata, antara langkah-langkah untuk mengawal masalah sistem pernafasan dalam kalangan jemaah haji ialah memakai topeng muka ketika berhadapan dengan orang ramai.

Kira-kira 130 orang ahli akademik, penyelidik dan mereka yang terlibat dengan pengurusan haji dari Arab Saudi, Singapura, Brunei, Indonesia, Kemboja dan Malaysia menyertai RCHAJJ'16 yang dianjurkan oleh Kluster Penyelidikan Haji.

Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM) 

  • Created on .
  • Hits: 800

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024