USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR LAMAN SESAWANG DAN BUKU PANDUAN RAWATAN FISIOTERAPI UNTUK PESAKIT

IMG 9815

KUBANG KERIAN, 13 April 2016 – Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan laman sesawang dan buku panduan rawatan fisioterapi bagi memudahkan ahli keluarga menguruskan pesakit yang terlantar.

Laman sesawang dan buku tersebut adalah antara output yang dihasilkan melalui Geran Pemindahan Ilmu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang bermula pada tahun 2014.

Laman sesawang fisioterapi yang boleh dilayari di www.fisioterapi.kk.usm.my menyediakan maklumat untuk kemudahan masyarakat umum mendapatkan pengetahuan yang berkaitan dengan penyakit yang dialami.

IMG 9775

Antara topic yang terdapat di dalam laman sesawang tersebut melibatkan aspek Muskuloskeletal, Kardiorespiratori, Neurologi, Paediatrik, Ortopedik dan Kesihatan wanita.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Ahmad Haji Zakaria berkata, universiti bukan sahaja berperanan menghasilkan graduan dan tenaga kerja yang cemerlang malah turut mempunyai peranan untuk memajukan masyarakat sekeliling terutamanya golongan kurang upaya.

“Mulai tahun 2015, setiap penyelidikan yang disuntik dana kerajaan perlu ada impak terhadap masyarakat dan ini adalah salah satu hasil penyelidikan yang memberi faedah bukan sahaja kepada pesakit malahan lebih penting lagi kepada keluarga pesakit untuk mendapat pendedahan serta ilmu untuk menguruskan ahli keluarga yang menjadi pesakit terlantar.

“PPSK sebagai kluster penyelidikan memang memfokuskan kepada kesejahteraan untuk golongan kurang upaya dan projek sebegini adalah salah satu agenda utama untuk kelangsungan penyelidikan serta pemindahan ilmu dan paling penting ialah kita mendapat sokongan daripada banyak pihak khususnya Unit Perubatan Pemulihan Hospital USM,” ujarnya lagi.

poster12

Selain daripada laman sesawang dan buku, yang turut dihasilkan ialah video senaman bagi kemudahan pesakit dan ahli keluarga melakukan senaman di rumah.  Ini dapat membantu pesakit yang menghadapi masalah dan kekangan masa untuk datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dengan terhasilnya bahan-bahan rujukan tersebut, ia dapat membantu dan memberikan pendedahan kepada pesakit serta masyarakat yang terlantar untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.  Ilmu perawatan yang diperolehi oleh ahli keluarga juga menjadi pemangkin dan amat diperlukan dalam proses penyembuhan.

Melalui Geran Pemindahan Ilmu itu juga ditubuhkan Kumpulan Sokongan Rehabilitasi Hospital USM sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman di antara perawat dan pesakit. 

poster13

Penubuhan kumpulan sokongan ini juga dapat membantu meningkatkan mutu dan kualiti profesionalisma dalam perawatan untuk kakitangan fisioterapi Hospital USM.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Dekan Akademik, Pelajar Dan Alumni, Profesor Madya Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Ketua Projek Pemindahan Ilmu, Nor Haslina Mohd.  Di samping majlis pelancaran tersebut, Seminar Bahaya Penyakit Tiga Serangkai turut diadakan dan dihadiri oleh seramai 200 orang peserta.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 1413

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024