USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TABIAT MAKAN MASYARAKAT MALAYSIA PUNCA DARAH TINGGI

USM, GEORGETOWN, 12 April 2016 – Kandungan garam yang berlebihan dalam makanan adalah antara faktor yang menyebabkan hipertensi atau lebih dikenali sebagai tekanan darah tinggi yang banyak dihidapi oleh masyarakat di Malaysia.

Menurut Pakar Kardiologi KPJ Seberang Perai, Dr. Safari Elis, tabiat pemakanan masyarakat yang gemar meletakkan garam secara berlebihan dalam masakan menjadi punca penyakit darah tinggi.

“Dalam sesetengah makanan juga terdapat garam tersembunyi yang mana apabila dimakan tidak berasa masin tetapi mengandungi kandungan garam yang tinggi,” jelas Safari ketika berucap sempena Program Minggu Kesihatan Sedunia 2016 di Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM).

Antara makanan yang mempunyai garam tersembunyi ialah makanan yang dikeringkan seperti ikan bilis, udang kering, sardin, sos cili, kicap, sos tomato, belacan, ajinomoto dan roti yang mengandungi sodium bikarbonat.

“Tekanan darah tinggi ialah satu penyakit yang serius dan digelar penyakit senyap kerana tidak menunjukkan simptom-simptom pada peringkat awal. Selain faktor pemakanan, risiko untuk mendapat penyakit ini juga dipengaruhi oleh faktor umur, genetik dan jantina.

“Mengikut kajian kesihatan yang dijalankan di Malaysia, sebilangan besar penghidap darah tinggi terdiri daripada kaum Melayu diikuti oleh India dan Cina. Kebiasaannya penyakit ini menyerang kaum lelaki pada usia 55 tahun dan perempuan pada umur 65 tahun,” ujarnya yang juga Alumni USM.

Beliau juga menegaskan hipertensi ini akan menyebabkan serangan jantung, lemah jantung, nyanyuk dan kegagalan fungsi buah pinggang.

 “Saya menasihatkan masyarakat supaya mengubah tabiat pemakanan, banyakkan bersenam, kurangkan merokok dan apa yang lebih penting ialah kesedaran daripada pesakit sendiri. Saya juga menyarankan mereka untuk membeli alat pengesan tekanan darah dan memeriksa tekanan darah sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam sebelum tidur,” akhiri beliau. 

Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 2604

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024