USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT SEJAHTERA SEDIA MENU MAKANAN SIHAT

USM, PULAU PINANG, 13 April 2016 – Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) kini bukan sahaja memberi rawatan dan pemeriksaan kesihatan tetapi juga bertindak menolong warga mencegah daripada berhadapan dengan risiko pelbagai jenis penyakit terutamanya melalui makanan yang diambil.

Usaha dibuat untuk menggalakkan pengambilan pemakanan sihat yang bermaksud hidangan seimbang yang mengandungi semua kumpulan makanan utama. Ia juga bermaksud mengambil pelbagai jenis makanan dalam saiz hidangan yang bersesuaian.

Pengarahnya, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, menyedari hakikat tersebut, pihaknya akan mengeluarkan risalah khas menu makanan sihat kepada semua jabatan di USM yang akan mula diedarkan pada penghujung bulan April ini.

“Risalah ini bertujuan untuk memberi panduan pemakanan yang sihat dan berkhasiat terutamanya kepada jabatan yang akan menyediakan makanan untuk mesyuarat atau pun sesuatu majlis,” katanya lagi.

Tambah Dr. Normala, selain daripada panduan pemakanan, terdapat contoh menu yang boleh disediakan untuk hidangan sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang beserta jumlah kalori yang diperlukan oleh seseorang yang normal.

Menu yang disediakan ini akan merangkumi semua jenis makanan sihat beserta tips-tips untuk sentiasa kekal sihat.

“Contohnya penyediaan makanan juga dapat diubah dengan menghidangkan dahulu sayur-sayuran, lauk dan akhir sekali nasi.

Oleh itu, kuantiti pengambilan sayur dan buah-buahan dapat ditingkatkan dan pengambilan nasi dapat dikurangkan yang sekaligus dapat mengubah sikap pengambilan pemakanan kita,” katanya ketika ditemui selepas ceramah kesihatan sempena Minggu Kesihatan Sedunia 2016 yang bermula 11 hingga 15 April 2016.

Program anjuran Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertemakan “Elakkan Diabetes!” menyajikan program-program menarik untuk orang ramai memperolehi ilmu kesihatan malah turut melakukan amal kebajikan seperti menderma darah.

Dr. Normala berharap dengan adanya risalah ini dapat membantu warga USM dalam penyediaan menu makanan sihat dalam setiap majlis yang akan dijalankan.

Selain daripada itu, Pusat Sejahtera juga akan memaparkan info grafik tentang kalori makanan di seluruh kafetaria dalam kampus USM.

Katanya, kekangan yang mungkin dihadapi ialah apabila pihaknya tidak dapat mengawal pengusaha kafetaria dalam menyediakan menu makanan sihat untuk dijual kepada pelajar dan staf USM untuk memberi kepuasan selera dan pilihan kepada pelanggan namun diharapkan mereka juga tidak mengabaikan kepentingan menjaga kesihatan awam.

“Oleh itu, pihak Pusat Sejahtera USM akan bekerjasama dengan desasiswa-desasiswa di kampus USM untuk mempamerkan maklumat tentang kalori makanan supaya ianya dapat memberi pengetahuan tentang jumlah kalori pemakanan yang diambil oleh pengguna pada setiap hari,” katanya.

Jelas Dr. Normala lagi, melalui info kalori makanan ini diharap dapat memberi kesedaran dan maklumat yang berguna kepada warga kampus dalam membuat pilihan yang bijak untuk memilih makanan yang sihat kepada tubuh badan.

"Kita juga akan cuba berbincang dengan pengusaha kafetaria supaya dapat menyediakan menu makanan sihat sebagai menu utama untuk dijual kepada warga USM," tambah Dr. Normala.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1221

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024