PERANAN PENJAGA DALAM MEMPERCEPATKAN PROSES PENYEMBUHAN PESAKIT
KUBANG KERIAN, April 2016 – Unit Perubatan Pemulihan Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan Program Sokongan Pesakit yang mengumpulkan pelbagai peringkat individu yang terlibat secara langsung dengan insan luar biasa di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM.
Program ini sebagai platform terbaik untuk menyampaikan dan berkongsi maklumat berkenaan dengan fisiologi pelbagai kondisi, kesannya kepada struktur badan, dan bagaimana untuk teruskan hidup bersama insan istimewa yang penuh semangat ini.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, program ini dilaksanakan untuk membantu kumpulan sokongan memupuk dan meningkatkan keyakinan diri pesakit serta ahli keluarga yang secara tidak langsung mengatasi rasa putus asa dalam diri pesakit.“Kajian menunjukkan program ini berkesan dalam meningkatkan kualiti kehidupan pesakit serta ahli keluarga, memulihkan kefungsian psikososial, dan meneruskan kesinambungan rawatan pesakit terus dari rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Perubatan Pemulihan, Dr. Al Hafiz Ibrahim berkata, ahli fisioterapi biasanya menjalankan kajian kes mengenai latar belakang dan tempat tinggal para pesakit sebelum menetapkan cara serta prosedur rawatan yang boleh dikenakan ke atas pesakit. “Kami di unit ini mengambil inisiatif dengan mengajar para penjaga kepada pesakit mengenai cara dan rawatan yang betul terhadap pesakit kerana kami percaya penjagaan yang betul adalah kunci kepada mana-mana kejayaan pesakit untuk kembali sembuh seperti sedia kala.
“Selain itu, pesakit juga dinasihatkan supaya menjalani rawatan fisioterapi secepat mungkin jika diarahkan oleh doktor untuk mengelak daripada pengerasan otot pesakit yang boleh melambatkan proses penyembuhan,” jelasnya.
Al Hafiz berharap agar para ahli kesihatan, ahli keluarga, dan pesakit dapat bekerja sebagai satu pasukan bagi menghidupkan dan menjayakan segala aktiviti khususnya yang telah dirancang dengan sempurna.
Teks : Ridzuwan Ramly, Nuradlin Syafini Nawi (Pelajar Internship UiTM), Normimi Shahira Mohd Daud, Wan Nurul Azreen Abdul Aziz, Nor Arina Sattar (Pelajar Internship UUM) / Foto : Mohd Ridzuwan Ramly
- Created on .
- Hits: 910