USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JAGA PEMAKANAN SEAWAL BAYI DI DALAM KANDUNGAN MAMPU CEGAH PELBAGAI PENYAKIT KRONIK

thumbnail IMG 20160413 WA0008

KUBANG KERIAN, 12 April 2016 – Sambutan Bulan Pemakanan sepanjang bulan April adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan penjagaan pemakanan.

Kebiasaannya antara program-program yang diadakan sepanjang bulan tersebut adalah pengukuran berat badan, nasihat pemakanan, ceramah pemakanan serta pameran pemakanan dan kesihatan yang dianjurkan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia.

Menurut Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Hamid Jan bin Jan Mohamed, penjagaan pemakanan bermula seawal proses kehamilan lagi.

“Terdapat kajian yang menunjukkan kebanyakan penyakit kronik yang dihadapi oleh orang dewasa sekarang mungkin disebabkan kehidupan semasa di dalam rahim yang mana jika semasa hamil, ibu tidak mengamalkan cara pemakanan dan gaya hidup sihat, ianya akan dizahirkan kepada anak tersebut tetapi tidak semestinya semasa bayi atau kanak-kanak sahaja malahan mungkin juga apabila mereka dewasa.

Teori ini diperkenalkan oleh Profesor David Barker dan USM mengambil inisiatif menjalankan projek ‘USM Pregnancy Cohort’ pada tahun 2009 bagi membuktikan teori tersebut berasas.“Projek USM Pregnancy Cohort merupakan satu projek di mana sampel telah dipantau bermula dari trimester kedua kehamilan sehingga kanak-kanak itu mencecah umur dua tahun atau dikenali sebagai fasa seribu hari pertama kehidupan,” ujarnya.

thumbnail IMG 20160413 WA0009

Tambah Hamid, oleh kerana hasil penyelidikan yang amat menggalakkan, kajian ini diteruskan sehingga kanak-kanak tersebut berumur tiga tahun. Oleh itu, pada umur tiga tahun, kanak-kanak tersebut telah dinilai dari segi pertumbuhan, kegemukan, kesan asap rokok dan perkembangan darjah kecerdasan (IQ) bagi mendapatkan keputusan untuk mengaitkan kesan terhadap anak daripada tabiat pengambilan makanan serta gaya hidup bapa dan ibu ketika hamil. Hamid bercadang untuk menilai semula kesihatan ibu dan kesihatan kanak-kanak tersebut apabila mereka berumur lima tahun.

“Pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat jika diamalkan sebagai kebiasaan sepanjang hayat akan susah untuk dikawal kelak. Oleh itu, ia penting untuk dijaga pada awal usia. Makanan adalah sumber tenaga yang masuk ke dalam tubuh badan manusia. Tenaga tersebut diperlukan oleh badan untuk degupan jantung dan melakukan setiap pergerakan fizikal. Jika tidak ada pergerakan fizikal yang dilakukan, tenaga yang masuk akan disimpan.

“Apabila tenaga masuk lebih banyak daripada tenaga yang keluar, ianya akan menjadi lemak berlebihan. Lemak yang berlebihan akan berkumpul di dua tempat iaitu di bawah kulit dan di dalam organ. Pengumpulan lemak di dalam organ seperti hati dan jantung adalah lebih merbahaya kerana ia akan mengakibatkan kejadian penyakit-penyakit kronik, contohnya sakit jantung, kanser, darah tinggi dan diabetes.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat supaya menjalani kehidupan yang aktif dengan melakukan senaman atau aktiviti fizikal secara konsisten, menjaga dan mengawal tabiat pemakanan serta mengambil tahu kebaikan dan keburukan setiap makanan yang diambil untuk mencegah badan daripada menerima bahaya tenaga berlebihan dan mengidap pelbagai penyakit,” jelasnya lagi.

Ibu bapa perlu menjaga pemakanan anak-anak serta mendidik anak-anak mereka seawal usia agar anak tersebut membesar dengan sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat apabila beliau dewasa dan berkeluarga kelak.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid & Nuradlin Syafini Nawi (Pelajar Internship UiTM) / Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 21726

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024