USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN IAHR ANJUR KONGRES PENGURUSAN AIR 2017

 DSC9135g

USM, PULAU PINANG, 12 April 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas jaringan kerjasama dengan rakan strategik bagi memperkasa manfaat pengurusan air dalam memacu kelestarian.

Kerjasama tersebut lebih spesifik dijalankan oleh  Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) dengan International Association for Hydro-Environment Engineering and Research (IAHR) untuk menjayakan kongres IAHR 2017.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berharap kerjasama yang terjalin dalam menjayakan kongres pada tahun hadapan ini akan membuka ruang yang lebih besar kepada kedua-dua belah pihak untuk berkongsi dan bertukar-tukar pengalaman yang sedia ada.

"Ini juga dapat menggalakkan percambahan pendapat dan idea yang perlu diperkukuhkan lagi dengan aktiviti penyelidikan yang dirancang bersama agar dapat pula mencetuskan inovasi baharu yang dapat dimanfaatkan oleh dunia sejagat, terutamanya yang berkait rapat dengan kelestarian alam sekitar bertepatan dengan hasrat USM memacu kecemerlangan dan memastikan kelestarian hari esok," kata Omar lagi.

 DSC9139g

Pengarah REDAC, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, Kongres yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos 2017 ini akan menghimpunkan pakar-pakar dalam pengurusan air dari seluruh dunia untuk kita mendapat input yang banyak berkaitan pengurusan air di Malaysia sekaligus dapat meningkatkan sistem pengurusan air.

“REDAC adalah satu daripada 14 buah Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi atau HICoE di Malaysia dan yang pertama di bawah kategori Teras Perkhidmatan manakala yang lain adalah di bawah kategori Teras Penyelidikan. Dengan bajet yang telah diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, kita akan mampu untuk menggerakkan REDAC di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Jelas Azazi lagi, ini merupakan langkah pertama pada tahun kedua sebagai HiCoE. REDAC telah mendapat rakan kerjasama yang cukup besar iaitu IAHR di mana ianya dipelopori oleh lebih 60 buah negara di dunia dalam bidang pengurusan air hidrolik.

“Dengan lebih 4,000 orang ahli  IAHR, REDAC bakal menjadi fokus di Asia Pasifik dan membolehkan semua KPI yang ditetapkan oleh KPT akan dicapai  untuk membawa geran-geran penyelidikan antarabangsa serta membuat jaringan kolaborasi melalui kongres yang akan diadakan nanti,” katanya ditemui selepas pertemuan Naib Canselor USM bersama-sama Pengarah Eksekutif IAHR, Dr Christopher B. George di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, USM dan IAHR turut menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dalam menjayakan kongres tersebut yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

 DSC9113h

Tambah Azazi lagi, kongres ini juga dilihat mampu membantu Kementerian Pelancongan dalam mempromosikan Malaysia khususnya Kuala Lumpur sebagai sebuah Pusat Bandaraya Malaysia dengan kehadiran para pembentang dari seluruh pelosok dunia.

Sementara itu, Dr Christopher B. George gembira untuk menganjurkan kongres tersebut bersama-sama universiti yang terkenal, USM dan dengan adanya Profesor Azazi dan pasukannya, beliau amat yakin bahawa ini akan menjadi salah satu kongres terbaik yang pernah diadakannya.

“Pada kongres nanti, pihak IAHR yakin dengan kehadiran pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan hidro alam sekitar dari seluruh pelosok dunia untuk datang dan berkongsi pemikiran terkini dalam sektor ini.

Selain mendengar tentang masalah-masalah yang ada dalam konteks Malaysia, kita dapat berbincang bersama-sama tentang bagaimana masalah tersebut boleh diselesaikan dengan baik,” tambahnya.

Pada masa yang sama, pihak USAINS Holding yang turut menjadi tulang belakang dalam Kongres IAHR 2017 menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama-sama IAHR dalam menjalinkan kerjasama untuk menjayakan kongres itu nanti. USAINS Holding Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Edwin Jose Gomes manakala Dr Christopher B. George mewakili IAHR.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1638

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024