USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGURUSAN KEJAT LONJAK PRODUKTIVITI NEGARA

thumbnail IMG 9445

KUBANG KERIAN, 11 April 2016 – Bagi mengukuhkan lagi negeri Kelantan sebagai Hab Pengurusan Kejat (Lean Management Hub)  sektor kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dijadikan contoh organisasi terbaik dalam pelaksanaan Penjagaan Kesihatan Kejat atau Lean Healthcare dalam kalangan sektor kesihatan.

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, pelaksanaan program ini merupakan satu impak besar kepada USM dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit walau pun dengan bajet yang terhad.

“Program ini mampu melahirkan para penjawat awam yang cekap dan inovatif dalam memberi perkhidmatan yang pantas demi keselesaan serta kemudahan pesakit dengan mengoptimumkan sumber kewangan tetapi perkhidmatan tidak terjejas malahan lebih baik lagi.

thumbnail IMG 9459

“Bengkel pada hari ini merupakan sesi perkongsian pengalaman dengan hospital-hospital yang telah menjalankan Lean Healthcare dan kerjasama yang dijalinkan dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah satu langkah yang bijak kerana pelbagai kepakaran boleh dikongsi bersama dalam memastikan kejayaan Lean Healthcare pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Program ini juga bertujuan untuk mewujudkan ‘community of practice’ dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan industri penjagaan kesihatan di Malaysia. 

Mafauzy berkata, pada tahun 2014, Kampus Kesihatan berjaya menjimatkan sebanyak RM10 ribu melalui lima projek yang telah dilaksanakan pada tahun 2014 dan sebanyak 14 projek bakal dilaksanakan pada tahun ini oleh KKUSM dalam usaha untuk menerapkan pengurusan 'Lean Healthcare' sebagai model penambahbaikan berterusan dalam operasi kerja.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Negara (MPC), Haji Ab. Rahim Yusoff berkata, perkongsian ilmu tentang penjagaan kesihatan oleh program ini dapat mengurangkan pembaziran sumber asas dan mempercepatkan proses penyembuhan pesakit itu sendiri.

thumbnail IMG 9478

“Program pengurusan kejat yang dipelopori dan menjadi amalan syarikat-syarikat di Malaysia adalah sistem yang memberi tumpuan kepada proses mengenalpasti dan menghapuskan pembaziran aktiviti organisasi agar dapat meningkatkan produktiviti serta memberi nilai tambah kepada perkhidmatan pelanggan.

“Antara impak projek yang dijalankan adalah pengurangan kos, peningkatan kepuasan pelanggan, motivasi pekerja, pengurangan lead time, peningkatan kualiti, peningkatan produktiviti, tenaga kerja yang optimum serta penglibatan pihak pengurusan," tambah beliau.

Beliau juga berkata, amalan terbaik dalam pengurusan kesihatan ini dapat mengurangkan masa menunggu pesakit untuk menerima rawatan, mempercepatkan proses discaj pesakit dan seterusnya kemudahan oleh pihak hospital boleh digunakan atau diberi kepada pesakit yang lain selepas itu.

“Setakat ini lima buah hospital di negeri Kelantan yang telah memperkenalkan projek pengurusan kejat iaitu Hospital USM, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Medical Center, KPJ Perdana Specialist Hospital dan yang terkini Hospital Jeli.

miti 1

“Saya menyeru para peserta mempraktikkan ilmu yang diperolehi dalam bengkel hari ini dan berkongsi dengan rakan-rakan yang lain selepas ini untuk melahirkan lagi ramai kakitangan yang cekap serta mewujudkan komuniti amalan terbaik dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan industri kesihatan di Malaysia,” jelasnya lagi.

Yang turut hadir sama ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) Wilayah Kelantan dan Terengganu, Azran bin Deraman, Timbalan Pengarah Kanan (Pengurusan) Hospital USM, Wan Mohd Suyuti Wan Ismail dan Pengurus MPC Wilayah Pantai Timur, Nik Faizal Nik Ahmad.  Seramai 200 kakitangan hospital dari seluruh Malaysia telah menghadiri bengkel tersebut.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid & Nuradlin Syafini bt Nawi (Pelajar Internship UiTM)
Foto:  Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sakri

  • Created on .
  • Hits: 1278

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024