USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM TAWAR PERKHIDMATAN PAKEJ UJIAN SARINGAN TALASEMIA

thumbnail MG 9778

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 11 April 2016 – Unit Hematologi, Makmal Diagnostik Termaju, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) kini menawarkan perkhidmatan pakej ujian saringan Talasemia kepada orang ramai.

Menurut Pengurus Perkhidmatan Makmal Diagnostik IPPT, Dr. Hafizuddin Mohamed Fauzi, adalah sangat penting untuk orang ramai menjalani ujian penyaringan darah bagi mengetahui status kesihatan mereka terutama penyakit Talasemia.

“Saringan ini adalah demi kesedaran tentang status kesihatan dan juga perancangan keluarga bagi mereka yang ingin berumahtangga. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa satu daripada 20 rakyat negara ini merupakan pembawa gen Talasemia iaitu sejenis penyakit kecacatan darah yang diwarisi daripada keluarga kepada anak,” katanya.

“Secara umumnya, terdapat dua jenis Talasemia iaitu Beta Talasemia dan Alpha Talasemia. Ia dapat diklasifkasikan kepada tiga kumpulan mengikut tahap kecacatan genetik iaitu Talasemia major, Talasemia intermedia dan Talasemia minor.

Bagi Talasemia minor, ia merujuk kepada status pembawa di mana mereka mempunyai kecacatan gen Talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit yang ketara. Manakala Talasemia major merujuk kepada mereka yang mempunyai baka Talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda penyakit tersebut dengan jelas,” tambah Hafizuddin lagi yang juga merupakan seorang Pakar Hematologi.

Hafizuddin turut memberitahu, mereka yang disahkan menghidap Talasemia major memerlukan transfusi darah secara berkala sepanjang hayat mereka. Namun, rawatan ini mempunyai risiko yang menyebabkan pengumpulan zat besi dalam organ-organ utama seperti hati, limpa, jantung dan kelenjar endokrin, sekali gus merosakkan fungsi organ berkenaan.

Justeru, pesakit perlu menjalani rawatan penyingkiran zat besi dan kekerapan rawatan bergantung kepada tahap pengumpulan zat besi di dalam badan mereka. Walau bagaimanapun, ini hanyalah merupakan rawatan sokongan dan rawatan penyembuhan secara menyeluruh ialah melalui pemindahan baka sum-sum tulang (stem cell) dari penderma yang bersesuaian.

IPPT kini mempunyai kepakaran dan kemudahan makmal yang berupaya untuk melakukan ujian pengesanan penyakit Talasemia secara menyeluruh.  Orang ramai adalah digalakkan untuk melakukan pengesanan awal dengan menjalani ujian saringan Talasemia.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pakej ujian saringan ini, bolehlah menghubungi Unit Hematologi IPPT di talian 04-562 2693 atau e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid / Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 1578

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024