PUCS BERBAKTI SECARA BERTERUSAN UNTUK KOMUNITI IPOH PERAK
USM PULAU PINANG, 11 April 2016 - Projek Baktisiswa merupakan aktiviti utama setiap tahun bagi Sekretariat Penang Undergraduate Community Service (PUCS) dan ahlinya dalam kalangan mahasiswa tahun pertama Universiti Sains Malaysia (USM) akan terlibat dalam projek ini bersama murid dari sekolah rendah yang terpilih dalam modul yang berbentuk perkhemahan.
Dalam perkhemahan ini, ahli PUCS akan menerima sekurang-kurangnya seorang peserta terdiri daripada murid sekolah rendah sebagai adik angkat mereka dan mereka perlu membimbing murid ini sehingga menjejak kaki ke universiti.
Ahli PUCS akan meluangkan masa mereka untuk balik semula ke sekolah rendah tersebut pada tahun kedua untuk berinteraksi dan berjumpa dengan adik angkat mereka semula supaya hubungan yang rapat dapat terjalin dan dikekalkan bersama adik angkat mereka.
Menurut Pengarah Projek, Chong Mun Yew, program kali ini amat memberi bermanfaat kepada ahli PUCS kerana ini merupakan kali pertama mereka balik semula untuk berjumpa dan mengadakan aktiviti untuk murid-murid yang menjadi adik angkat mereka sejak perkhemahan pada tahun lepas.
Katanya, program ini diadakan untuk meningkatkan taraf pendidikan peserta di kawasan luar bandar di samping meningkatkan kesedaran mereka untuk melindungi alam sekitar selain program ini bertujuan untuk menjalankan aktiviti khidmat masyarakat dan mengeratkan hubungan penduduk tempatan bersama mahasiswa USM.
“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa USM untuk berinteraksi bersama peserta dan mengenali mereka dengan lebih mendalam dan program ini berjalan lancar dan berjaya melalui kerjasama mahasiswa,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pengalaman dan kenangan yang diperoleh malalui program ini akan kekal dalam hati buat selama-lamanya dan sebagai pengarah projek, beliau berasa syukur atas kejayaan program ini dan berharap agar projek ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Pelbagai aktiviti seperti kajian sains yang melibatkan penghasilan dan uji kaji roket, membuat kraf tangan dengan menggunakan bahan kitar semula, sesi perkongsian video pendek yang mengandungi nilai-nilai moral, permainan stesyen dan sebagainya turut diadakan.
Seramai 34 ahli PUCS telah menyertai program ini bersama komuniti, penduduk kampung dan semua warga Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pasir Pinji 1, Ipoh, Perak.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 783