USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DERMA ORGAN TERMASUK KORNEA UNTUK SELAMATKAN ORANG LAIN

KUBANG KERIAN, 10 April 2016 – Kornea merupakan tisu dalam organ mata yang memiliki karakteristik kuat dan tembus terhadap cahaya serta dapat memberi perlindungan kepada bahagian sensitif mata.

Kornea mata sangat penting untuk membantu orang yang mengalami masalah penglihatan dan dengan bantuan penderma kornea yang telah meninggal dunia dapat menyelamatkan pesakit.

Pensyarah Kanan Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohtar Ibrahim berkata, kesedaran pendermaan kornea dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah kerana pandangan negatif terhadap pendermaan organ.

“Ramai pesakit yang buta akibat kerosakan kornea memerlukan tisu kornea gantian dari mereka yang telah meninggal dunia kerana kornea gantian tidak dapat diproses dari bahan sintetik malah tiada bank kornea yang berfungsi sepenuhnya bagi mendapatkan kornea gantian untuk pesakit,” katanya dalam rancangan ‘Doktor Di Radio’ di Kelantan FM.

Tambah Mohtar, kornea boleh diselamatkan apabila pemindahannya dilakukan dengan segera dalam tempoh enam jam selepas penderma meninggal dunia.

“Proses pendermaan kornea perlu mendapat izin daripada penderma atau waris si mati tanpa menggangu pengendalian mayat.

“Kita tahu bahawa Islam membenarkan umatnya menderma organ dengan syarat tiada unsur perdagangan dan bukan untuk pameran awam,” jelasnya.

Mohtar berkata, kesedaran dan penerimaan rakyat Malaysia berhubung pendermaan organ masih lagi rendah dan sedikit.

“Masyarakat diseru membuat amal jariah sehingga ke hujung nyawa dengan mendaftar sebagai ahli penderma organ kerana bantuan yang dihulurkan dapat membantu pesakit lain yang lebih memerlukan,” katanya lagi.

Teks/Foto: Roslida Mohamed, Siti Nur Zainab Md. Nor (Pelajar Intership UUM) & Nor Arina Sattar (Pelajar Intership UUM).

  • Created on .
  • Hits: 1476

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024