USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JANGKA TERIMA 30,000 PERMOHONAN MASUK

IMG 0122j

USM, PULAU PINANG, 9 April 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka akan menerima 30,000 permohonan mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama sepenuh masa dan jarak jauh serta ijazah tinggi pada tahun ini terutamanya dalam bidang Sains dan Kejuruteraan.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, pada masa ini USM telah pun menerima kira-kira 27,000 permohonan dan menjangkakan akan bertambah dalam sedikit masa lagi termasuk untuk pengambilan khas di Sabah dan Sarawak.

IMG 0136

IMG 0137

"Pada masa ini kita menawarkan lebih 70 peratus bidang pengajian dalam bidang Sains dan Kejuruteraan untuk pelajar-pelajar menyambung pengajian  di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan peringkat ijazah tinggi - Sarjana, Kedoktoran dan Doktor Falsafah (PhD)," kata Omar dalam sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka USM 2016 di sini pagi ini.

USM menyediakan peluang pengajian yang terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai kelayakan untuk menyambung pengajian mereka di dalam bidang Sains dan Kejuruteraan di empat kampusnya iaitu di Pulau Pinang, Bertam, Nibong Tebal dan India.

“USM turut menawarkan Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) dalam bidang Sains kepada mereka yang bekerja dan mempunyai kelayakan untuk memohon pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang memakan masa lima tahun pengajian,” jelasnya lagi.

“Pada hari ini, kita juga membuka permohonan kepada kelompok B40 untuk kemasukan  sehingga akhir Ogos nanti. Permohonan bagi golongan ini akan dipertimbangan untuk program-program yang bersesuaian.

 jom 1

Dijangka seramai 300 orang pelajar dari golongan B40 akan diterima masuk ke USM bagi pengambilan sesi 2016/2017,” kata Omar.

Sementara itu, Naib Canselor turut memberitahu,  Lembaga Gabenor Universiti (LGU) juga telah bersetuju untuk membuat pengambilan khas di Sabah dan Sarawak untuk semua bidang pengajian.“USM turun padang dengan memberi pertimbangan khas kepada calon yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian di USM selain memberi peluang khas kepada Orang Kurang Upaya (OKU) melalui saluran alternatif,” tambahnya lagi.

USM mempunyai kampus yang mengkhusus dalam bidang Sains Perubatan dan Sains Kesihatan di Kelantan serta dalam bidang Kejuruteraan di Nibong Tebal Pulau Pinang, Perubatan dan Pergigian Termaju di Bertam dan Sains Perubatan di India.

jom 2

jom 3

“Oleh itu, anggapan bahawa bidang Sains dan Kejuruteraan adalah satu bidang yang sukar dipelajari dan dimasuki tidaklah begitu tepat,” katanya lagi.

Hari Terbuka USM diadakan untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada ibu-bapa, pelajar, masyarakat, dan guru-guru berkaitan program-program pengajian di USM dan kecemerlangan universiti.

Pada tahun ini, USM telah memasuki tahun kelapan pengambilan pelajar secara bersendiri (autonomi)  untuk pelajar Ijazah pertama bermula tahun 2009 dan untuk pengambilan di peringkat pengajian ijazah pertama jarak jauh sudah bermula sejak diperkenalkan pada tahun 1971.

Omar berharap USM akan meneruskan Hari Terbuka ini agar dapat diadakan pada setiap tahun untuk memberi maklumat dan menarik lebih ramai masyarakat di sekitar Pulau Pinang malah di seluruh negara untuk mendekati USM.

Program yang berlangsung selama dua hari ini bermula hari ini menyajikan pelbagai aktiviti antaranya peluang bertemu dengan wakil dari pusat-pusat pengajian di ruang pameran. Selain itu, turut ditawarkan yuran permohonan percuma kepada calon yang memohon hanya pada hari ini dan esok.

Turut diadakan ialah taklimat khas kepada kaunselor sekolah dan juga ibu bapa yang hadir yang akan menerangkan dengan lebih jelas dan mendalam kepada mereka mengenai persoalan tentang USM.

Selain itu pameran kenderaan tenaga solar, pemeriksaan kesihatan dan aktiviti derma darah juga diadakan. Turut berlangsung ialah gerai-gerai yang diusahakan oleh pelajar dan juga perkhidmatan 'dental mobile bus'.

Yang turut hadir ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor, Penolong-penolong Naib Canselor, Pendaftar dan Dekan-dekan pusat pengajian USM.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1321

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024