USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONVENSYEN FIQH PERUBATAN AJAK MASYARAKAT BERFIKIR

KUBANG KERIAN, KELANTAN, April 2016 – Seramai 500 orang memenuhi Dewan Utama Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyaksikan penceramah-penceramah jemputan sempena Konvesyen Fiqh Perubatan bagi mengupas isu-isu agama dan definisi perubatan dalam Islam yang dianjurkan oleh pelajar Kampus Kesihatan, USM.

Konvesyen seumpama ini diadakan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada para peserta tentang nilai-nilai kesederhanaan Islam dan Islam sebagai agama yang penuh toleransi dalam menjatuhkan hukum terhadap sesuatu amalan serta perbuatan.

Pensyarah Kanan Unit Sains Kesihatan Interdisiplin, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM, Dr. Mujahid Bakar berkata, masyarakat seharusnya mencontohi sifat para sahabat nabi dalam menjalani kehidupan seharian dan menjaga perlakuan diri supaya ia kelak tidak menjadi fitnah kepada agama.

“Pada masa kini, masyarakat perlu banyak membaca buku-buku berunsur tarbiah supaya diri dan jiwa kita sentiasa diisi dengan makanan rohani dan secara tidak langsung mengukuhkan serta meluaskan lagi skop fahaman tentang ajaran Islam,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang penceramah jemputan yang mengupas isu bertajuk Maqasid Syariah.

Sementara itu, penceramah dan penulis tersohor, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin pula menegaskan bahawa masyarakat harus lebih jelas dengan definisi perubatan Islam yang tidak hanya fokus kepada rawatan menggunakan ayat Al-Quran sahaja malah skop perubatan Islam itu sangat luas.

“Selain menggunakan ayat Al-Quran seperti ruqyah, kepakaran orang bukan Islam juga boleh digunakan dalam perubatan Islam selagi tidak menggunakan bahan-bahan haram dan tidak bercanggah dengan tuntutan agama Islam.

“Definisi perubatan Islam itu sendiri fokus kepada disiplin dan kesan mujarab sesuatu rawatan itu ke atas pesakit serta rawatan dari agama lain juga boleh diguna pakai iaitu sesuai dengan hujah Sheikh Al Qaradawi yang melihat perubatan moden itu selari dengan ajaran Islam,” jelasnya.

Ustazah Fatimah Syarha juga menyeru para hadirin supaya menggunakan logik akal dan tidak mudah percaya dengan sesuatu rawatan dalam perubatan selagi tiada kajian atau penyelidikan sah yang telah dilakukan ke atas kaedah tersebut.

Teks/Foto: Nuradlin Syafini Nawi (Pelajar Internship UiTM), Anawiah Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 750

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024