USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI DALAM PENYELIDIKAN HAJI BANTU TINGKATKAN KECEKAPAN URUSAN HAJI

PULAU PINANG, 8 April 2016 - “Saya agak teruja dengan dedikasi dan sokongan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan program sebegini dan saya yakin jika usaha ini diteruskan dengan niat yang baik, Malaysia akan mengetuai bidang penyelidikan haji ini,” kata  Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit dan Pengerusi Jabatan Penyelidikan Hospital Prince Mohamed bin Abdul Aziz, Profesor Dr. Ziad A. Memish.

Tambah Ziad, kajian isu haji terutamanya yang melibatkan aspek kesihatan perlu ditingkatkan bagi membantu mengenal pasti cabaran dan halangan yang dihadapi oleh jemaah haji semasa menunaikan Rukun Islam yang kelima.

“Pengumpulan data berkenaan isu haji terutamanya berkaitan kesihatan sangat penting tetapi malangnya maklumat mengenainya tidak mencukupi untuk dijadikan rujukan.

“Hasil kajian mengenai aspek kesihatan dalam isu haji dari negara lain dapat membantu Kerajaan Arab Saudi untuk mengubahsuai polisi atau menangani kesukaran terhadap isu ini. Saya menggalakkan penyelidik untuk menghantar kertas kerja mereka atau menerbitkan jurnal bagi mengetahui cabaran yang dihadapi di negara lain,” katanya.

Ziad yang ditemui semasa sesi forum ‘The Consequences of Mass Gathering on Health & Medical’ berkata, kolaborasi antara penyelidik di peringkat daerah, kebangsaan dan antarabangsa harus dijalankan bagi meningkatkan pengumpulan data berkenaan kajian mengenai isu haji.

Selain Ziad, forum yang merupakan sebahagian daripada Persidangan Serantau Amalan Terbaik Haji 2016 (RCHAJJ’16) ini turut melibatkan Pakar Perunding Kanan Respiratori, Institut Perubatan Respiratori (IPR), Profesor Dato’ Dr. Haji Abdul Razak Mutallif dan Pensyarah Mikrobiologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Madya Dr. Zakuan Zainy Deris.

Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 713

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024