KEUPAYAAN PELAJAR KEJURUTERAAN USM DIYAKINI
NIBONG TEBAL, 18 Mac 2015 - Sokongan yang baik terutamanya dari pihak industri terhadap program anjuran pelajar Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan keupayaan dan kebolehan pelajar USM diiktiraf.
Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman, sokongan yang sangat baik dari pihak industri dengan memberi peluang kepada pelajar tahun akhir untuk mendekati dunia pekerjaan sebenar, dengan penyertaan lebih 68 buah syarikat dalam acara ini membuktikan hakikat ini.
Bercakap dalam sidang media selepas pelancaran Career Fair 2015, Omar berkata semasa lawatan ke gerai-gerai pameran industri, beliau diberitahu terdapat syarikat yang menghantar semula alumni USM untuk merekrut bakal graduan untuk melangkah ke dunia pekerjaan.
Career Fair merupakan program tahunan Kampus Kejuruteraan yang masuk penganjuran kali ke-10 pada tahun ini menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan, ICT, teknologi dan sebagainya.
"Kesediaan pelbagai pihak merekrut pelajar di sini membuktikan bahawa kebolehpasaran graduan USM diyakini dan dipercayai pihak industri," kata Omar.
Dalam sidang media yang sama, Naib Presiden Kanan Pengeluaran dan Kejuruteraan Robert Bosch (BOSCH), Lothar Mergili pula berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan bakat para graduan USM untuk bersama-sama mengorak langkah mencapai kejayaan dalam bidang industri.Pameran kerjaya yang diuruskan sepenuhnya oleh para pelajar kampus kejuruteraan ini dikunjungi oleh para pelajar tahun akhir kampus kejuruteraan serta juga pihak luar kampus.
Pengarah projek Career Fair 2015, Chun Jan Bong berkata pihaknya menyasarkan seramai 2,000 orang akan mengunjungi acara ini, memandangkan pada hari pertama sahaja pengunjungnya melebihi 1,000 orang.
Program ini bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa merancang dan membuat pilihan kerjaya yang sesuai dengan pengisiannya meliputi aktiviti temuduga terbuka, pameran kerjaya dan keusahawanan, ceramah kerjaya dan kemahiran insaniah, klinik kaunseling kerjaya, seminar mengenai 'Graduate Employability' dan sebagainya.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato' See Ching Mey, TNC Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussein serta Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd. Ishak. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Suntingan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1678