PAMERAN SENI CETAK DI MGTF WUJUD HUBUNGAN BAIK USM DENGAN UNIVERSITI DI THAILAND
USM, PULAU PINANG, 6 April 2016 – Buat julung kalinya Pameran ‘2 Series Artwork’ dari Thailand, “Space and Time of Serenity” oleh Manee Meemak dan “Colour of Faith and Serenity” oleh Pongsiri Kiddee berlangsung selama sebulan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) yang mewujudkan hubungan baik antara USM dengan Universiti Thailand yang terlibat.
Pameran ini telah dirasmikan oleh Konsul Jeneral Diraja Thai, Ekajit Kraivichien di MGTF, USM. Dua karya seni yang digabungkan dalam satu pameran ini merupakan sebahagian daripada Pengajian Pendidikan Doktor Falsafah dari Thailand. Ia merupakan satu peluang besar untuk berkongsi ilmu seni Thailand di Malaysia.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mengharapkan hubungan kerja yang lebih akrab dapat dipupuk antara universiti yang terlibat untuk menggalakkan kerjasama dalam menganjur dan menguruskan pameran seni yang berkelas dunia.
“Saya berpuas hati dengan kerjasama MGTF dan Pusat Pengajian Seni (PPS) USM, yang telah membawa pelukis-pelukis profesional dari pelosok dunia untuk mengadakan pameran tematik solo di USM,” kata Omar.
Menurut Omar lagi, beliau percaya bahawa pameran ini akan turut meningkatkan persembahan kebudayaan kerana terdapat banyak persamaan dari segi konteks kebudayaan antara negeri-negeri utara seperti Kelantan dengan Selatan Thailand.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada MGTF atas inisiatif dalam mengadakan pameran ini dan saya berharap agar ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara USM dengan institusi-institusi yang terlibat di Thailand,” jelas Omar.
Menurut Konsul Jeneral Diraja Thai, Ekajit Kraivichien, pameran ini adalah kerjasama antara beberapa institusi di Thailand iaitu dari Fakulti Seni Universiti Thaksin, Fakulti Seni Universiti Chiengmai dengan PPS USM dan MGTF USM. Manakala, MTGF turut memberikan sokongan padu kepada pameran seni ini termasuk sokongan kepada pelukis-pelukisnya.
“Saya berharap agar nilai estetika dapat diterapkan dalam diri para pengunjung yang mengunjungi karya seni yang telah dilukis oleh pelukis-pelukis profesional dalam pameran tersebut. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap pelancaran pameran ini dan mengharapkan ia dapat diakhiri dengan satu kejayaan yang lebih besar,” kata Ekajit.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Pensyarah Fakulti Seni Universiti Silpakorn Bangkok Thailand, Profesor Emeritus Pishnu Supanimit; Pengarah MGTF USM, Zolkurnian Hassan dan Pensyarah PPS USM, Profesor Madya Abdul Rahman Mohamad.
Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM) / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 924