USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RCHAJJ'16 USAHA MEMPERTINGKATKAN AMALAN TERBAIK HAJI SERANTAU

PULAU PINANG, 7 April 2016 -  Mengerjakan haji merupakan satu pengalaman berharga dalam diri setiap umat Islam dan menguruskan jemaah haji bukanlah usaha yang mudah.
 
Pengerusi Persidangan Serantau Amalan Terbaik Haji (RCHAJJ) 2016, Profesor Dr. Ahamad Tajudin Khader, Universiti Sains Malaysia (USM) dipertanggungjawabkan mengelola persidangan untuk membincangkan  isu-isu berkaitan urusan haji terutamanya dalam usaha memberi keselesaan kepada para jemaah pada musim haji.
 
"Jemaah yang ramai dalam setiap musim haji mewujudkan pelbagai masalah khususnya dari aspek keselamatan dan juga kesihatan mereka apatah lagi dengan bilangan mencecah 4 juta orang di dalam suatu tempat iaitu Masjidil Haram pada  satu masa merupakan  cabaran yang unik untuk dikendalikan," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan persidangan yang berlangsung di sini.
 
Tambahnya, jika berlaku kecemasan, tindakan segera perlu diambil oleh para petugas yang perlu memahami tingkah laku jemaah serta kaitannya dengan pengaruh psikososial.
 
"Objektif persidangan kali ini ialah untuk menunjukkam hasil penyelidikan haji selama ini dan memberikan cadangan  penyelesaian masalah terkini selain menghimpunkan pakar-pakar di bawah satu bumbung untuk berkongsi ilmu berkenaan isu-isu Haji," jelasnya.
 
Tema-tema persidangan adalah berkaitan pejalan kaki dan pemindahan dinamik, kawalan jemaah, tingkahlaku jemaah, simulasi model terbaik jemaah, aspek psikososial hujjaj, latihan dan pendidikan, pemantauan jemaah, promosi kesihatan jemaah, isu kesihatan jemaah, pengurusan keselamatan, pengurusan haji dan umrah dan sebarang topik dalam meningkatkan kesediaan amalan terbaik haji.
 
Seramai lebih 100 menyertai persidangan kali ini dari Malaysia, Saudi Arabia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Kemboja.
 
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
  • Created on .
  • Hits: 719

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024