USM RANCANG TAWAR KURSUS PENGURUSAN HAJI DAN UMRAH
PULAU PINANG, 6 April 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) merancang untuk menawarkan kursus Pengurusan Haji dan Umrah pada peringkat ijazah tinggi melalui Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam dalam masa yang terdekat.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Regional Conference on Hajj 2016 (RCHAJJ'16) di sini hari ini.
"Hal ini masih dalam perancangan teliti bagi memastikan kelestarian penyelidikan haji sebagai sumbangan USM untuk pengurusan haji dan umrah pada masa hadapan," kata Omar.
Jelasnya lagi ini juga akan memperkukuhkan Kluster Penyelidikan Haji yang ditadbirkan oleh Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) melalui kolaborasi USM bersama-sama kepakaran universiti awam lain seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), International Islamic University Malaysia (IIUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melibatkan rentas bidang dan pelbagai disiplin kepakaran bagi melakukan penyelidikan untuk pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan jemaah semasa musim haji.
"Isu yang difokuskan termasuklah pemindahan orang ramai, pengawasan, masalah kesihatan dan pengurusan adalah antara kajian yang dijalankan. Hasil kajian ini akan meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan prosedur pengurusan haji sekaligus turut menambah keselesaan jemaah haji supaya mereka lebih fokus dalam menunaikan ibadah,” jelas Omar.
Kira-kira 130 orang ahli akademik, penyelidik dan mereka yang terlibat dengan pengurusan haji dari Arab Saudi, Singapura, Brunei, Indonesia, Kemboja dan Malaysia menyertai RCHAJJ'16 yang dianjurkan oleh Kluster Penyelidikan Haji yang bermula hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Asyraf Wajdi bin Dato' Dusuki yang merasmikan persidangan ini menyambut baik muzakarah seperti ini yang membincangkan hasil penyelidikan oleh para sarjana dan ilmuan berpengalaman dari pelbagai negara untuk pengurusan operasi jemaah haji.
"Bukanlah mudah menguruskan orang ramai terutamanya yang berkait dengan kesihatan dan keselamatan memandangkan ibadah haji ialah satu acara yang mengumpulkan umat Islam yang paling ramai dari seluruh dunia.
"Kewujudan Kluster Penyelidikan Haji diharap dapat menghasilkan resolusi atau dasar daripada perspektif yang berbeza dalam pengurusan, perubatan, kemajuan teknologi dan psikososial yang akan memanfaatkan kerajaan, pihak pengurusan haji dan jemaah haji,” harap beliau.
Tambahnya lagi, input dari sarjana dan pengamal yang menjalankan kajian lapangan dan terlibat dalam pengurusan orang ramai sudah pasti dapat menambahkan pangkalan data maklumat dalam mencari resolusi yang berkaitan dengan haji terutamanya dari pelbagai negara.
Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar internship USM)
Suntingan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 2463