USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ORANG RAMAI DIJEMPUT MERIAHKAN HARI TERBUKA USM

Orang ramai dijemput menghadiri Hari Terbuka Universiti Sains Malaysia (USM) - Pakat Mai Masuk USM pada 9 dan 10 April 2016 di Dewan Utama Pelajar (DUP) berhampiran Padang Kawad USM antara jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, program ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah tinggi dan ijazah pertama mendaftar secara terus dengan tawaran menarik.

Program yang sama diadakan di Dewan Utama Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan.

Permohonan kemasukan akan dibuat secara terus termasuk 71 program yang ditawarkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan lebih 200 program ditawarkan bagi ijazah lanjutan (Ijazah Sarjana, Kedoktoran & Doktor Falsafah).

"Ini adalah peluang terbaik untuk orang ramai terutamanya mereka yang ingin mengikuti pengajian pelbagai bidang terutamanya dalam program-program diiktiraf sebagai terbaik dalam ranking dunia baru-baru ini," kata Omar.

Dalam QS World University Ranking by Subject 2016, 22 program pengajian USM berada pada kedudukan 200 - 300 terbaik dunia dan 9 berada pada kelompok 100 terbaik dunia.

Ini temasuklah dalam Kejuruteraan dan Teknologi (Program Kejuruteraan Kimia berada pada kedudukan 46), Sains Hayat dan Perubatan (Sains Farmasi, Sains Kajihayat dan Perubatan), Seni dan Kemanusiaan (termasuk Seni Bina, Linguistik dan Bahasa Inggeris) serta Sains Kemasyarakatan dan Pengurusan (Pendidikan, Kajian Pembangunan, Perniagaan, Komunikasi dan Media, Ekonomi dan Statistik). 

"Ini menunjukkan yang program-program pengajian kita mampu bersaing di peringkat dunia dan berupaya menyediakan pelajar pada peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi dalam menghadapi persaingan di mana sahaja," kata Omar.

Orang ramai terutamanya calon-calon yang berminat juga berpeluang untuk bertemu ahli-ahli akademik di ruang pameran serta dikecualikan dari membayar yuran permohonan pada Hari Terbuka ini di samping mengikuti taklimat khas.

Kaunselor sekolah juga digalakkan hadir bagi mendapatkan maklumat terus mengenai peluang kemasukan ke USM dalam membantu para pelajar di sekolah seluruh negara.

"Saya menyeru agar mereka yang berminat datang dan mengambil kesempatan dari peluang yang diberikan ini," kata Omar lagi.

Yang turut diadakan ialah pameran kenderaan tenaga solar, pemeriksaan kesihatan dan aktiviti derma darah serta gerai-gerai yang diusahakan oleh siswa dan perkhidmatan pergigian bergerak (dental mobile bus).

Maklumat lanjut, hubungi Bahagian Pengurusan Akademik atau Institut Pengajian Siswazah, atau layari laman web www.usm.my atau https://pohon.usm.my.

Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 974

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024