GHEF 2016 BINCANG ISU KETAHANAN DAN KELESTARIAN PENDIDIKAN TINGGI
PULAU PINANG, 5 April 2016 – Peranan pendidikan tinggi dalam membangunkan masyarakat yang berdaya tahan dan lestari atau “The Role of Higher Education in Developing Societal Resilience and Sustainability” menjadi fokus Global Higher Education Forum (GHEF) 2016 yang bermula hari ini.
Berucap merasmikan GHEF 2016, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berharap forum ini menjadi medan utama untuk para cendekiawan, penyelidik dan penggubal dasar dari seluruh dunia bertukar pendapat tentang perubahan dan kesan dalam proses pendidikan tinggi dan kemungkinan senario masa hadapan terutamanya yang memberi kesan kepada Malaysia.
“Hal ini penting apabila melihat kepada empat tema utama yang menjadi perhatian GHEF 2016 ini iaitu pendidikan tinggi dan rintangannya dari pemikiran kepada amalan, pendidikan tinggi dan rintangan masa hadapan, kedamaian serta rintangan dan keperluan inklusif masyarakat untuk pembangunan lestari dan keserakanan global untuk pembangunan lestari,” kata Hamisah.
Tambahnya lagi, lebih penting lagi adalah kerana kepentingan kepimpinan dan dinamisme dalam menghadapi kerintangan dan pergolakan yang ada apatah lagi dengan bermulanya Agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030 dalam Pembangunan Lestari setelah berakhirnya agenda Millennium Development Goals (MDGs).
“Hal ini juga penting dilihat dalam aspek pelaksanaan Pelan Pendidikan Malaysia yang turut melihat peranan pendidikan tinggi untuk meletakkan negara dalam kerangka rangkaian global, anak-anak muda yang dipersiapkan untuk menghadapi cabaran masa hadapan dengan keperluan akademik dan set minda antarabangsa yang memerlukan kepimpinan inovatif dalam proses penyampaiannya,” tegas Hamisah.
Katanya lagi, dalam konteks inilah, GHEF 2016 diharapkan akan melihat semula usaha-usaha ini dengan melihat juga program transformasi universiti Malaysia dalam menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran dalam konteks negara dan dunia.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal pula berharap agar GHEF 2016 akan menjadi medan pertukaran pendapat melalui kajian-kajian kes yang khusus dari pelbagai negara dan bagaimana untuk ahli-ahli akademik menterjemahkan dalam bentuk tindakan jangka panjang.
“GHEF 2016 tentunya berupaya melihat bagaimana sistem pendidikan tinggi, universiti dan komuniti akademik dapat bersama-sama memainkan peranan melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik sebagai sinergi masa hadapan,” kata Ahmad Shukri.
Pengarah UNESCO Bangkok, Gwang Jo-Kim dalam ucapannya yang dibacakan oleh Perunding Kanan UNESCO Bangkok, Wesley Teter berkata, GHEF 2016 diadakan tepat pada masanya dengan komuniti antarabangsa yang bersepakat untuk merealisasikan Education 2030 sebagai matlamat pendidikan utama dunia.
“Adalah menjadi hasrat kita bersama untuk memastikan kejayaan hasrat kesaksamaan pendidikan yang inklusif melalui peluang pendidikan sepanjang hayat dalam kalangan komuniti dunia seluruhnya menjelang tahun 2030 dan forum ini membuka ruang untuk menjana sumber secara kolektif untuk mencorakkan masa hadapannya,” katanya.
Tambahnya lagi, GHEF 2015 membuka peluang untuk menerokai usaha menjadikan pendidikan sebagai kuasa transformatif menghadapi cabaran-cabaran yang ada.
Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah “The Role of Higher Education in Developing Societal Resilience” oleh Pengarah Sekretariat SEAMEO Bangkok Dr. Gatot Hari Priowirjanto, “The Role of Higher Education in Developing Sustainability” oleh Profesor Masafumi Nagao dari Institute for the Advanced Study of Sustainability United Nations University Tokyo dan sesi Global Kopitiam yang membincangkan pelbagai aspek amalan dan rintangan dalam pendidikan tinggi sedunia.
GHEF 2016 adalah yang kelima sejak tahun 2007 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) dengan kerjasama UNESCO Bangkok, LH Martin Institute (University of Melbourne) dan Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF).
Seramai 180 orang peserta dari Amerika Syarikat, England, Australia, Fiji, Kemboja, Jamaica, Thailand, Indonesia, Timor Leste, Jepun dan Malaysia mengambil bahagian dalam forum tiga hari ini.
Yang turut hadir dalam majlis perasmian ialah Pengarah IPPTN Profesor Dr. Wan Mohd. Fauzy Wan Ismail dan mantan Pengarah IPPTN Profesor Dr. Ahmad Nurulazam Md. Zain.
Naib Canselor USM yang juga Pengerusi GHEF 2016 Profesor Dato’ Dr. Omar Osman akan melakukan penutupan rasmi pada hari Khamis, 7 April 2016 mulai jam 11.00 pagi.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar internship USM) / Suntingan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1070