USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAKAT MAI MASUK USM: USM BUKA PERMOHONAN SECARA TERUS SEMPENA HARI TERBUKA

12931220 10208929232212440 6013150287027696043 n

PULAU PINANG, 5 April 2016 -  Mana-mana individu yang berminat untuk mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang untuk memohon secara terus bersempena penganjuran Hari Terbuka USM dengan tema Pakat Mai Masuk USM pada 9 dan 10 April depan.

Permohonan kemasukan akan dibuat secara terus termasuk 71 program yang ditawarkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan lebih 200 program ditawarkan bagi  ijazah lanjutan (Ijazah Sarjana, Kedoktoran dan Doktor Falsafah).

Pengarah Pusat Media & Perhubungan Awam USM, Mohamad Abdullah berkata, program berkenaan yang diadakan di dua lokasi termasuk Dewan Utama Pelajar kampus induk USM di Pulau Pinang dan Kampus Kesihatan Kelantan itu memberi peluang untuk lebih ramai calon menyertai USM untuk menimba ilmu dalam pelbagai lapangan.

Katanya, pelbagai program disediakan termasuk permohonan atas talian bagi pengambilan di peringkat ijazah sarjana muda dan pengambilan terbuka bagi pelajar peringkat Ijazah Sarjana, Kodoktoran dan Doktor Falsafah.

“USM juga turut memberi peluang kepada calon yang ingin mengikuti rancangan pengajian jarak jauh (RPJJ) yang mana permohonan yang telah pun ditutup akan dibuka semula khusus bersempena hari terbuka berkenaan,’’ ujarnya.

Tambah beliau, hari terbuka USM itu dibuat dengan matlamat untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada ibu-bapa, pelajar, masyarakat, dan guru-guru berkaitan program-program pengajian di USM dan kecemerlangan universiti.

“USM juga inigin memberi pendedahan berkaitan kualiti pendidikan tinggi melalui aktiviti pameran kecemerlangan  USM-APEX dan mengapa calon harus memilih USM sebagai Universiti pilihan utama,” katanya.

Antara aktiviti yang akan diadakan adalah peluang bertemu dengan wakil dari pusat-pusat pengajian di ruang pameran. Selain itu, turut ditawarkan yuran permohonan percuma kepada calon yang memohon hanya pada hari terbuka tersebut.

Turut diadakan ialah taklimat khas kepada kaunselor sekolah dan juga ibu bapa yang hadir. Taklimat tersebut akan menerangkan dengan lebih jelas dan mendalam kepada mereka yang hadir mengenai persoalan tentang USM.

Pameran kenderaan tenaga solar, pemeriksaan kesihatan dan aktiviti derma darah juga akan diadakan. Bagi mereka yang ingin mengetahui tahap kesihatan, boleh segera merebut peluang ini. Selain itu, turut berlangsung ialah jualan di gerai-gerai yang diusahakan oleh siswa dan juga perkhidmatan dental mobile bus.

Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut, hubungi Bahagian Pengurusan Akademik@Institut Pengajian Siswazah, atau layari laman web www.usm.my atau https://pohon.usm.my

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1340

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024