USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM SAMPAI SYARAHAN TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM 11 APRIL 2016

image002

USM, PULAU PINANG, 5 April 2016 - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal akan menyampaikan Syarahan Perdana 'CEO Faculty Programme' pada hari Isnin, 11 April 2016 jam 9.00 pagi di Dewan Tuanku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Syarahan Perdana yang pertama kali diadakan di USM melalui program CEO Faculty Programme Kementerian Pendidikan Malaysia ini terbuka kepada orang ramai.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman,  berkata Ketua Pengarah Pentadbiran Awam (KPPA) yang berpengalaman lebih 35 tahun dalam pentadbiran awam itu dijangka menyentuh tentang usaha melaksanakan program Keberhasilan Kerangka Transformasi Perkhidmatan Awam setelah lebih tiga tahun pelaksanaannya sejak tahun 2013 yang telah menunjukkan impak yang telah melakar wajah baharu Perkhidmatan Awam.

"Kita telah menyaksikan bagaimana Kerangka Transformasi Perkhidmatan Awam telah digagaskan yang bertunjangkan kepada lima teras strategik iaitu Mendaya Upaya Bakat; Merekayasa Organisasi; Merakyatkan Penyampaian Perkhidmatan; Merangkum dan Sepunya; serta Membudaya Nilai, agenda Kerangka Transformasi Perkhidmatan Awam ini disebar luas ke seluruh peringkat Perkhidmatan Awam," kata Omar.

Tambahnya, USM menyokong usaha ini yang perlu dikongsi bersama seluruh warga USM malah pegawai-pegawai perkhidmatan awam seluruh negara serta masyarakat yang tentunya berpeluang untuk memahami usaha yang dibuat dengan lebih objektif apatah lagi melihat kepada cabaran dan realiti yang ada yang kini berada pada fasa terakhir sebelum mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Peranan Perkhidmatan Awam dan sumbangan penjawat awam menjadi penentu kejayaan agenda besar negara  sebagai pemelihara kepentingan rakyat yang bukan sekadar mentadbir untuk rakyat, tetapi juga mentadbir bersama rakyat, membina rangkaian, memudah cara perkhidmatan dan memfokus kepada keberhasilan yang besar serta pantas," kata Omar.

Syarahan Perdana ini menjadi wacana intelektual dalam gapura keilmuan untuk direnungi, diamati dan diterjemahkan pemikiran dan paradigma Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Ke-21 ini dalam bentuk tindakan oleh para pentadbir, golongan ilmuan, para penyelidik dan penjawat awam keseluruhannya.

Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1117

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024