DUTA USM-MySIHAT BERTEKAD KURANGKAN PEROKOK, LAKUKAN KAJIAN
USM, PULAU PINANG, 2 April 2016 – Lima orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik menjadi Duta USM-MySihat di Dewan Utama Desasiswa, Kompleks RST, USM dalam Konvensyen Kedua Duta USM-MySihat yang dipilih berdasarkan usaha aktif mempromosikan kesihatan khususnya kawalan tembakau kepada masyarakat.
Pengerusi Sekretariat USM-MySihat 2014/2015, Madzlan Musau yang telah terlibat dalam aktiviti ini selama dua tahun dan juga salah seorang penerima Duta-MySihat sangat berbangga dengan pencapaian tersebut.
"Kita telah berjaya mengurangkan peratusan perokok di kawasan umum dalam kampus dan berharap agar program MySihat ini akan diperkenalkan kepada masyarakat luar," kata pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan itu.
Madzlan sedar risiko untuk berhadapan dengan masyarakat yang bukan senang untuk menerima teguran dan ini merupakan cabaran dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang duta.
Seorang lagi Duta USM-MySihat, Che Nor Hidayati Mohd Husaini dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam berkata, Sekretariat USM-MySihat di Kampus Kejuruteraan berhasrat untuk mengumpul data tentang peratusan zon merokok yang paling tinggi dan mencari kaedah yang sesuai untuk mengurangkan peratusan bilangan perokok di dalam dan luar kampus.
Yang turut sama dilantik menjadi Duta USM-MySihat ialah Mohd Elmie Fitri Mohd Shukri dari Pusat Pengajian Seni, Hasniza Mohd Husain, pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Afrina Bibi Huzaimi dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1040