USM PERLU WUJUDKAN KONSEP ALUMNI GLOBAL - PRO CANSELOR USM
USM, PULAU PINANG, 31 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) perlu mewujudkan konsep alumni global sebagai sebahagian daripada inisiatif Universiti Global yang disarankan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam Perutusan Tahunannya di samping memperkasakan alumni yang berada di dalam negara, malah dalam kalangan warga USM sendiri.
Demikian jelas Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur yang menyeru supaya alumni USM boleh menggembleng tenaga untuk memperkasakan kerja sukarela, libatsama komuniti serta menjalinkan jaringan alumni di luar negara dalam melakukan pelbagai aktiviti pemajuan ilmu dan kepakaran global.
“Dengan bilangan alumni yang telah melebihi 150,000 orang, saya percaya banyak yang boleh dilakukan bersama-sama demi kemajuan masa hadapan di atas nama Alumni USM untuk berbakti kepada universiti, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya,” jelasnya yang juga merupakan Penaung Persatuan Alumni USM.
Tambah Mustafa lagi, Alumni USM haruslah menjadi pertubuhan yang bergerak secara profesional dalam memanfaatkan kekuatan dan keupayaan untuk kembali berbakti dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran yang ada.
“Alumni yang telah berjaya dalam bidang yang diceburi misalnya bolehlah mengadakan program keusahawanan yang menawarkan tempat kepada pelajar USM menjalankan latihan industri di syarikat mereka,” katanya ketika memberi ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni USM (PAUSM) kali ke-20 di sini, hari ini.
Mesyuarat Agung PAUSM dipengerusikan oleh Presiden PAUSM 2015-2017, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dengan pembentangan Minit Mesyuarat Agung ke-19 (2015) dan Laporan Aktiviti Tahunan sepanjang tahun 2015.
Kemudian mesyuarat diambil alih oleh Bendahari PAUSM, Dr. Daisy Kee Mui Hung untuk pembentangan Laporan Kewangan 2015. Beberapa cadangan dari ahli mesyuarat yang lain juga telah dicatat untuk memperkemaskan lagi perlembagaan tersebut.
Dalam ucapannya, Dzulkifli mengalu-alukan penglibatan semua pihak dan PAUSM amat berbesar hati untuk berbincang serta menerima idea dan teguran dalam menyempurnakan lagi amanah dan tanggungjawab yang dipikul.
“Buat kali pertama Mesyuarat Agung Tahunan menganjurkan sesi ramah mesra dengan pihak pengurusan universiti untuk membolehkan PAUSM mendampingi universiti dan mengetahui perkembangan USM dengan lebih dekat,” katanya.
Yang hadir sama Pengarah Pusat Perhubungan Alumni USM, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Alya Hazwani binti Md. Hafidz
- Created on .
- Hits: 870