USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU LAKSANA PROTUNe 2016

USM, PULAU PINANG, 30 Mac 2016 – Seramai 300 pseserta dari 40 buah sekolah di sekitar Pulau Pinang menyertai Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2016 di Dewan Utama Pelajar (DUP) Universiti Sains Malaysia (USM) pagi ini.

Menurut Pengerusi Rancangan Keusahawanan USM, Shafie Ariffin, PROTUNe telah bermula sejak tahun 1998, dan ia merupakan program tahunan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“PROTUNe adalah program peringkat kebangsaan yang dilaksanakan oleh setiap negeri. Sebanyak 10 modul Tunas Niaga perlu dilaksanakan sepanjang tahun yang bertujuan untuk membentuk dan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam perniagaan.

“Untuk melahirkan usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju kita perlu mengasah bakat mereka di peringkat sekolah lagi. Saya percaya ramai dalam kalangan pelajar mempunyai minat untuk berniaga tetapi tidak mempunyai saluran yang betul,” katanya.

Shafie turut memberitahu bahawa seramai 40 orang fasilitator terlibat pada kali ini terdiri daripada pelajar USM.

“Pada masa yang sama, kita juga boleh menarik lebih ramai pelajar USM untuk menceburi bidang keusahawanan dan menggalakkan mereka untuk menjadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya,” tambah beliau.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir, Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Nibong, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Puan Habsah.

Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 900

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024