USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ACMF PLATFORM KUKUHKAN JARINGAN KEBUDAYAAN UNTUK MASA HADAPAN

USM PULAU PINANG, 2 April 2016 - Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey hari ini merasmikan ASEAN Cultural Music Festival (ACMF) 2016 di Dewan Budaya USM.

Program kelolaan Sekolah Kebangsaan Minden Height Pulau Pinang ini mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut Pulau Pinang bersama-sama USM dihadiri oleh pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah dari 6 buah sekolah berprestasi tinggi yang turut disertai oleh delegasi dari negara Thailand dan Indonesia.

Menurut See Ching Mey, USM sentiasa bersedia untuk menawarkan kepakarannya kepada masyarakat terutamanya komuniti seluruh negara dan juga antarabangsa dalam menjayakan program sebegini.

“Saya berharap murid-murid dan guru-guru akan mempunyai peluang untuk membina hubungan lebih kukuh dan persahabatan yang akan menyediakan lebih banyak ruang dan peluang pembelajaran melalui penganjuran program sebegini,” katanya yang mewakili Naib Canselor USM.

Tambahnya kerjasama dan penglibatan program sebegini bagi generasi pelapis amatlah dialu-alukan kerana merekalah yang akan mencorakkan negara Malaysia suatu hari nanti dan yang perlu dipelihara.

ACMF merupakan platform untuk murid-murid sekolah Asia Tenggara (ASEAN) memperkayakan diri mereka melalui perkongsian pengetahuan kebudayaan masing-masing, justeru memahami dan menghargai persamaan, perbezaan dan kepelbagaian budaya masyarakat.

Acara ini telah membawa bersama-sama 800 orang peserta dari latar belakang etnik yang berbeza untuk mempamerkan bakat masing-masing dari aspek tarian, orkestra, ucapan dan lain-lain lagi.

Teks dan Foto : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 750

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024