USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM NAIK TARAF PEJABAT PERHUBUNGAN ALUMNI

USM, PULAU PINANG, 31 Mac 2016 - Pejabat Perhubungan Alumni yang telah dinaik taraf menjadi Pusat Perhubungan Alumni Universiti Sains Malaysia (PPAUSM) pada Januari 2016 berhasrat menggembleng tenaga bersama-sama Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM) dalam meningkatkan sumbangan mencapai APEX 2020.

Menurut Pengarah PPAUSM, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, alumni memainkan peranan penting dalam pembangunan pelajar di USM.

"Universiti meletakkan alumni sebagai pihak berkepentingan dalam pembangunan siswa bagi membantu melahirkan siswazah yang hebat dan dikenali di peringkat dunia.

"Melalui bantuan alumni, pelajar tidak hanya akan mengharapkan kerajaan dalam memperoleh pekerjaan sebaliknya mengambil inisiatif bersama untuk menghasilkan usahawan di dalam negara bahkan di luar negara," jelas Wan Ahmad Jaafar.

Tambahnya, alumni boleh membantu universiti sebagai pensyarah jemputan dengan berkongsi idea terhadap kurikulum bersama Timbalan Dekan Alumni mengikut penglibatan dalam industri tertentu.

"Tahun ini, terdapat 38 Timbalan Dekan Alumni atau Pengarah mengikut Pusat Pengajian telah dilantik untuk menjana idea bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan mengikut industri masing-masing," katanya ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni USM Ke-20.

Tambahnya, selain itu, penglibatan alumni juga boleh diperluaskan dalam aktiviti ko-kurikulum melalui penyertaan dalam program yang dianjurkan oleh persatuan, badan unit beruniform dan kelab di USM.

Yang turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Pro Canselor USM, merangkap Penaung PAUSM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur; Presiden PAUSM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bersama isterinya Puan Sri Masrah Abidin.

Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 993

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024