USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PHS USM ANJUR MINGGU BERSAMA PELANGGAN 2016

USM, PULAU PINANG, 30 Mac 2016 – Perpustakaan Hamzah Sendut Universiti Sains Malaysia (PHS USM) menganjurkan Minggu Bersama Pelanggan 2016 dalam usaha perpustakaan USM untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan.

Pemangku Ketua Pustakawan PHS USM, Ali Abd Rahim berkata, program ini adalah sebuah platform untuk berinteraksi dengan pelanggan perpustakaan di samping menjadi medium untuk mempromosikan kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan kepada warga USM.

“Dengan adanya program seperti ini dapat mewujudkan budaya mesra pelanggan dan meningkatkan imej korporat perpustakaan USM,” tambahnya ketika berucap merasmikan majlis di sini, hari ini.

Di samping itu juga, Minggu Bersama Pelanggan tahun ini turut dimeriahkan dengan Program Jelajah Kampus 2016 ke seluruh universiti tempatan bagi mengadakan pameran buku yang melibatkan penerbit-penerbit buku tempatan anjuran Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA).

Penganjuran siri jelajah ini adalah bagi menggalakkan warga kampus meningkatkan budaya membaca di samping bahan bacaan yang ditawarkan dengan harga promosi dan berpatutan.

Ali berharap agar program dan kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha memupuk minat membaca dan seterusnya menggalakkan perkongsian pengetahuan dalam kalangan warga kampus.

Dalam majlis itu, Ali turut menyampaikan hadiah kepada pengunjung terkerap dan peminjam terbanyak perpustakaan USM.

“Penghargaan ini diberikan dalam menghargai para pelanggan PHS USM yang tidak jemu-jemu menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh kami,” tambahnya lagi.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 851

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024