USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JADIKAN IMPIAN SATU KENYATAAN

1459473514065

USM, PULAU PINANG, 29 Mac 2016 – Cita-cita ingin melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak dibangku sekolah  menjadi kenyataan pada tahun 2007 apabila diterima masuk mengikuti pengajian sehingga menggenggam ijazah Sarjana Muda  Pengurusan.

Pegawai di sebuah bank antarabangsa, Yuvaraj Shunmugam, 30, menganggap pengalaman sepanjang mengikuti pengajian di USM menjadikan impiannya sebagai kenyataan.

Anak jati Pulau Pinang itu amat bangga menjadi alumni USM kerana baginya Menara Ilmu ini istimewa dan amat dekat di hatinya yang diiktiraf di dunia.

“Di sini kita melihat pelajar dari pelbagai kaum bertemu dan berinteraksi sebagai satu keluarga besar malah juga tempat pertemuan pelajar antarabangsa sesuai dengan kedudukan USM sebagai  pusat pertemuan pelbagai bangsa dari pelosok dunia,” kata Yuvaraj.

Tambahnya lagi, kemudahan yang disediakan di USM juga kondusif dengan segala prasarana yang perlu yang memudahkan warga kampus.

“Tidak dapat dinafikan bahawa USM memang mempunyai keunikannya yang tersendiri sebagai sebuah universiti dalam taman dengan kehijauan alam yang memberi ketenangan dan berbeza dengan tempat lain,” tegasnya lagi.

Yuvaraj yang merupakan seorang pemain hoki sejak di bangku sekolah lagi mengakui bahawa kemudahan sukan yang disediakan USM turut menjadi penyumbang dalam meningkatkan kemahiran bermain hoki malah pernah mewakili USM dalam Pesta Hoki Pulau Pinang dan banyak terlibat dalam acara hoki antarabangsa.

“Saya sentiasa gembira dan teruja melibatkan diri dalam program-program anjuran USM yang begitu menyeronokkan termasuk bersama rakan-rakan menganjurkan program Pesta Makanan dengan mempromosikan beberapa produk dalam pesta tersebut di samping berpeluang menemui beberapa ahli perniagaan yang hadir ke pesta tersebut,” kata Yuvaraj mengingati pengalaman yang dilalui di kampus.

Katanya lagi, melalui program dan aktiviti demikian, USM telah menjadikan dirinya lebih berkeyakinan dan membentuk kemahiran kepimpinan yang kini dapat diaplikasikan dalam bidang kerjayanya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada USM kerana salah satu sebab signifikan yang menyebabkan saya kini diterima bekerja di bank antarabangsa ini adalah kerana saya seorang graduan USM,” kata Yuvaraj.

Teks: Nandhini Thiagaraja (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 898

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024