USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HASBULLAH, TOKOH KEBUDAYAAN USM 2012

USM, PULAU PINANG, 29 Mac 2016 – Siswazah Sarjana Muda Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Hasbullah Hashim, 25, yang dahulunya pernah dinobatkan sebagai Tokoh Kebudayaan USM 2012 oleh Kor Sukarelawan USM, kini berkhidmat sebagai Pensyarah di Jabatan Pengajian Umum di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kedah. Beliau sangat aktif dalam aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kepimpinan di USM.

Hasbullah yang telah bergraduasi pada November 2014 berkata, selain belajar, keterbukaan pelajar dalam menganjurkan sesebuah program telah diberi sokongan kuat dari aspek kewangan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEPA). Ini telah mewujudkan satu ruang dan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat mereka sehingga sampai ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya sangat aktif dalam aktiviti kebudayaan dan telah menyertai Adikarma USM yang merupakan kumpulan kesenian di bawah Unit Kebudayaan dan Kesukarelawan BHEPA USM. Melalui Adikarma, saya telah berkunjung ke beberapa buah negara seperti Thailand, Indonesia, dan China untuk menyertai pertandingan tarian peringkat antarabangsa di samping mempromosikan budaya Malaysia di sana,” jelas Hasbullah.

Tambahnya, Adikarma USM telah banyak menganjurkan Program Pertukaran Budaya dengan universiti-universiti di Thailand dan Indonesia yang membolehkan setiap ahli belajar tarian-tarian dari negara lain.

Antara pencapaian yang Hasbullah telah terima kebanyakannya ialah melalui pertandingan Adikarma USM seperti mendapat persembahan terbaik dalam Program Pertandingan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2013, menjadi ikon terbaik peringkat kebangsaan dalam pertandingan Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014 dan meraih tempat ketiga dalam pertandingan tarian anjuran Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) 2015.

“Pada tahun 2014 juga, saya telah menjadi Pengarah Projek Attachment Kebudayaan di China dan pada tahun berikutnya, saya menjadi Pengarah Projek Pertukaran Kebudayaan dengan Universiti Prince Songkhla di Thailand,” katanya.

Selain aktif dalam aktiviti kebudayaan, dia juga melibatkan diri dalam aktitviti kepimpinan di USM. Beliau pernah menjadi setiausaha dalam Persatuan Bulan Sabit Merah USM dan juga pernah menyertai Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) USM. Sebanyak tiga kali Hasbullah dianugerahkan sebagai PPSL USM paling “sporting”.

“Saya sangat aktif dalam aktiviti kebudayaan dan kepimpinan di USM kerana saya ingin menimba ilmu dan pengalaman sebanyak yang boleh. Pengalaman adalah guru yang terbaik dalam menempuhi liku-liku kehidupan,” tambah Hasbullah.

Tambahnya lagi, jika ingin mencari universiti yang mempunyai kemudahan yang sempurna dari aspek pengajaran dan pembelajaran serta universiti yang memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam, USM adalah pilihan yang bijak.

Hasbullah yang berhasrat untuk menyambung pengajiannya di USM dalam bidang yang sama pada peringkat Ijazah Sarjana memilih untuk bekerja dahulu selama 2 tahun bagi mencari pengalaman seberapa banyak yang boleh sebelum masuk belajar.  

Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 951

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024