ASSALAMUALAIKUM CINTA 3.0 DAN KONVENSYEN ANAK MUDA DAPAT SAMBUTAN HANGAT
USM, PULAU PINANG, 27 Mac 2016- Program Assalamualaikum Cinta 3.0 dan Konvensyen Anak Muda mendapat sambutan hangat apabila lebih 1,000 pengunjung membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra USM semalam.
Program tersebut dianjurkan oleh Himpunan Anak-Anak Kelantan USM (HAAKUSM) dengan kerjasama Institut Wasatiyyah Malaysia dan Majlis Perwakilan Pelajar USM.
Program Assalamualaikum Cinta 3.0 merupakan perbincangan tentang konsep cinta dalam konteks yang luas dengan moderator Da’I Hadhari Muhammad Tajdid Hadhari Romli bersama tiga orang ahli panel iaitu Imam Muda Nazrul, Nazrul Izwan Zolkiflee, Pencetus Ummah Taha Omar dan Mohd Syahbuddin Hashim.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Dr. Nazarudin Bin Zainun yang merasmikan program ini, diharapkan para peserta dapat menghayati makna sebenar cinta dalam konteks yang luas berlandaskan ketaqwaan kepada Tuhan.
Pengarah Projek, Mohamad Amirul Abdullah pula berkata, pihaknya tidak menjangkakan program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pelajar memandangkan diadakan pada hari minggu.
“Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan konsep yang berbeza kerana cinta tidak semestinya terhad kepada manusia semata-mata," kata pelajar tahun dua Pusat Pengajian Pengurusan itu.
Teks & Foto: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 953