USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EKSPEN 2016: SIKAP DAN MINAT PENENTU KELANGSUNGAN KARIER

IMG 5563bnmn

USM, PULAU PINANG, 26 Mac 2016 – Sikap dan minat yang tinggi dalam melakukan pekerjaan adalah faktor utama yang akan membantu kelangsungan karier seseorang ketika melangkah ke dunia kerjaya.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menegaskan, sikap seseorang terhadap kerjayanya amat penting dan tanpa minat dan komitmen, ia akan menjejaskan kejayaan seseorang individu di masa hadapan.

Katanya, sikap positif dan semangat terhadap kerja yang dijalankan akan menjadikan individu itu dapat meneruskan kerjayanya dengan baik dan mencapai kejayaan seiring dengan pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerja.

IMG 5566hjl

Beliau berkata demikian ketika ditemubual sempena Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN 2016) yang menyaksikan lebih 70 buah syarikat dari dalam dan luar negara meliputi pelbagai bidang mengambil bahagian.

Daripada jumlah tersebut, 15 buah syarikat telah terlibat dalam ceramah kerjaya, 13 buah syarikat terlibat dalam temuduga terbuka dan 42 buah syarikat terlibat dalam pameran kerjaya.

IMG 5635fgh

ekspen 35

Omar juga berkata, EKSPEN 2016 telah membuka peluang kepada pelajar untuk lebih memahami syarikat-syarikat yang berkaitan dengan bidang mereka dan mereka turut diharap dapat mengambil peluang untuk merancang kerjaya masing-masing lebih awal.

“USM telah menjadi salah satu tempat utama bagi banyak syarikat untuk membuat pengambilan pekerja. Maka, EKSPEN 2016 tidak terhad kepada pelajar USM sahaja, malah kita turut mengalu-alukan pelajar dari universiti lain untuk melibatkan diri.

“Pihak universiti akan mengadakan satu perjumpaan dengan syarikat-syarikat yang terlibat dalam EKSPEN 2016 ini untuk membincang mengenai kerjasama yang lebih sistematik dari segi program latihan industri. Hal ini disebabkan penglibatan industri sangat penting kepada pelajar-pelajar USM,” katanya.

EKSPEN 2016 juga telah membuktikan keupayaan pengelolaan sekumpulan para pelajar USM yang diketuai Pengarahnya, Nur Aniza Azieda Damanhuri, yang turut menjadi pengarah wanita kedua yang dilantik mengetuai pasukan EKSPEN.

ekspen 46

Menurut Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA, Ahmad Anwar Omar, pengarah wanita EKSPEN 2016 mempunyai bakat yang seiring dan momentum yang sama seperti pengarah lelaki EKSPEN sebelum ini.

Beliau turut menambah, EKSPEN kali ini turut berjaya menjemput Aiman Azlan sebagai Youth Icon, dengan harapannya untuk menarik perhatian orang muda untuk menyertai acara pameran kerjaya dan pendidikan terbesar di USM ini.

Beliau juga berkata, EKSPEN 2016 mendapat sambutan yang lebih hangat dan pelajar merebut peluang keemasan ini kerana kali ini merupakan kali pertama EKSPEN membawakan syarikat besar dari luar negara seperti Australia dan Singapura, untuk membuat pameran bersama.

ekspen 4690

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan pegawai-pegawai utama Universiti yang lain.

Teks: Loh Mei Fang (Pelajar internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 975

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024