BEBIYANA WAKILI USM KE MISI SUKARELAWAN SISWA YSS-ASEAN CHAMPASAK, LAO PDR
KUBANG KERIAN, 28 Mac 2016 – Bebiyana binti Bidin, 20, anak kelahiran Kota Belud, Sabah mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) apabila dipilih menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN 2016 di Champasak, Lao PDR selama dua minggu bermula 24 Mac hingga 12 April.
Seramai 45 sukarelawan siswa dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi termasuk universiti awam, swasta, kolej komuniti, institut pendidikan guru dan politeknik mengambil bahagian dan akan bergabung dengan 45 sukarelawan siswa Lao PDR untuk menjalankan kerja kesukarelawanan di tiga buah kampung iaitu Ban Phonethons, Ban Donetalath dan Ban Soukhouma, Champasak, Lao PDR.
Menurut Bebiyana, beliau memang minat dan terlibat dengan kerja-kerja sukarela sejak dari sekolah menengah dan selalu menyertai aktiviti sukarelawan dalam penjagaan persekitaran serta haiwan pada peringkat sekolah dan juga yang dianjurkan oleh badan NGO.
“Saya mendapat tahu tentang program sukarelawan siswa ini melalui seorang kawan dan telah menghadiri temuduga di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada tahun lepas tetapi saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana hanya 15 orang sahaja yang akan dipilih daripada seluruh Malaysia.
Apapun saya bangga dipilih menyertai program ini kerana secara tidak langsung saya dapat mengharumkan nama USM dan mengharapkan agar dengan penyertaan ini, sukarelwan YSS bukan sahaja mampu memberi impak kepada para penduduk Laos tetapi juga kepada diri sendiri terutama dari segi keyakinan diri, komitmen kepada masyarakat luar, kemahiran berkomunikasi serta kepimpinan,” ujar beliau.
Menurut pelajar Tahun 1, Pusat Pengajian Sains Kesihatan yang juga merupakan Ketua Exco Bencana Dan Operasi Sekretariat Sukarelawan Kampus Kesihatan USM, walaupun bangga dan gembira kerana terpilih tetapi beliau tetap berdebar-debar kerana ini merupakan kali pertama beliau menyertai misi sukarelawan yang melibatkan kemasyarakatan sebegini.
“Saya akan memberikan yang terbaik sepanjang misi ini berjalan kerana inilah peluang untuk menimba pengalaman serta membuktikan pelajar seperti saya juga mampu membantu mereka yang memerlukan,” tambah beliau lagi.
Dalam misi kerjasama Kementerian Pendidikan dan Sukan (MoES) Lao PDR itu, sukarelawan siswa akan menjalankan kegiatan berasaskan konsep ‘immersion’ di mana mereka akan mendalami budaya dan kehidupan masyarakat setempat. Para sukarelawan akan memberi fokus kepada kluster utama YSS iaitu pendidikan, kesihatan, komuniti dan teknologi maklumat ICT serta saringan kesihatan dan sesi kaunseling.
Misi Sukarelawan Siswa ini melibatkan pelbagai agensi korporat, pendidikan dan kerajaan seperti Universiti Champasak, Perkhidmatan Pendidikan Daerah (PES) Champasak, Pejabat Gabenor Champasak dan Kedutaan Malaysia di Laos.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Ihsan Bebiyana Bidin
- Created on .
- Hits: 1245