USM-UMK SAHUT SARANAN KESAMAAN DAN KESERAKANAN
KOTA BHARU, KELANTAN, 28 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bekerjasama dalam membangunan model atau kerangka kerjasama melalui Kolokium Kesamaan dan Keserakanan bagi pembangunan dan jalinan kerjasama yang berfokus di sini semalam.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, walau pun banyak kerjasama dengan UMK telah dijalankan namun kali ini dilaksanakan dengan penuh sistematik dan berfokus antara UMK dan USM Kampus Kesihatan (USMKK) khususnya serta juga Kampus Induk di Pulau Pinang dan Kampus Kejuruteraan.
“USM dan UMK telah lama bekerjasama tetapi bagi menyahut seruan kerajaan dalam Kesamaan dan Keserakanan antara kedua-dua buah universiti ini, kita akan berfokus kepada pelbagai bidang termasuk Akademik, Penyelidikan, Hal Ehwal Pelajar, Sumber Manusia dan juga guna sama fasiliti,” kata Naib Canselor dalam satu perjumpaan khas antara USM dan UMK yang dihadiri oleh pegawai-pegawai utama kedua-dua buah universiti.
“Walaupun USM dan UMK berfokus kepada bidang yang berlainan, namun ketidaksamaan inilah yang akan memberikan sinergi yang begitu baik dalam pengurusan.
“Contohnya, USM mempunyai pakar dalam alam bina yang mana akan diperlukan oleh UMK yang mempunyai pengajian dalam bidang Sains Warisan dan sebaliknya,” katanya.
Omar juga mempelawa para pelajar UMK untuk menyertai program yang dianjurkan oleh pelajar USMKK seperti Temasya Olahraga Tahunan dan Pesta Pantun serta latihan industri di sini.Naib Canselor UMK, Profesor Dato’ Dr. Mortaza Mohamed pula berkata, pelbagai inisiatif boleh diwujudkan untuk Kesamaan dan Keserakanan, dan USM membantu UMK dan sebaliknya dalam pengurusan terutamanya akademik, penyelidikan dan hal ehwal pelajar.
“Contohnya, kelengkapan makmal yang USM ada boleh diguna pakai, bukannya kerana UMK tidak mampu untuk membeli tetapi di sana kami dapat menggunakan kelengkapan makmal sekaligus diajar oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.
“Saya percaya, dengan usia UMK yang sembilan tahun ini kami dapat mengorak langkah dengan lebih jauh dan berkualiti melalui jalinan kerjasama yang diwujudkan sejak penubuhan universiti ini,” kata Mortaza yang turut berkongsi matlamat kerjasama ini kepada lebih 70 kakitangan USM dan UMK.
Hasil daripada perbincangan ini beberapa resolusi telah dicapai termasuk menawarkan program major dan minor secara bersama, melantik penyelia (supervisor) secara bersama tanpa bayaran dan juga kedua-dua buah universiti akan merangka bidang-bidang kerjasama lain untuk tempoh 3 tahun yang akan datang.
Yang turut hadir dalam perjumpaan ini adalah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan TNC HEA UMK, Profesor Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, TNC (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Profesor Dato' Dr. Ibrahim Che Omar serta Pendaftar USM Profesor Dr. Abdul Aziz Tajuddin dan Pendaftar UMK, Mejar (K) Pauzi Pak Chu.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 903