ISDEV JALAN KAJIAN UNTUK TAWAR KEPAKARAN DI VIETNAM
USM, PULAU PINANG, 28 Mac 2016 - Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengadakan gerak kerja penyelidikan ‘Leadership in Islamic Service Management’ ke Vietnam mulai 28 Mei 2016 ini.
Ketua Penyelidik, Dr. Shahir Akram Hassan berkata penyelidikan ini adalah di bawah program pemasaran pendidikan di negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV) yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).
“Tujuan penyelidikan ini adalah untuk membolehkan Malaysia menawarkan kepakaran dan pengalamannya kepada negara serantau dan juga negara membangun lain dari aspek penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran, jaringan masyarakat dan mobiliti pelajar, jaminan kualiti dan juga kepimpinan.
“Penyelidikan di bawah program ini juga adalah pertama kali disertai oleh USM dan fokus kami adalah kepada kepimpinan di Vietnam memandangkan kini ia telah menjadi tumpuan pelancong sebagai tempat membeli-belah terutamanya di bandar Ho Chi Minh,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tawaran penyelidikan akan terus dibuka kepada pasukan penyelidik untuk meneruskannya ke fasa seterusnya, bergantung kepada keberkesanan projek penyelidikan yang diadakan di negara CLMV kelak.
“Untuk permulaan sememangnya terdapat beberapa masalah yang kami hadapi kerana ia pengalaman pertama kami dalam projek penyelidikan bersama negara CLMV ini. Namun kami yakin ia dapat diatasi sejurus tiba di Vietnam nanti,” jelasnya.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 880