PELAJAR PELBAGAI KAUM, NEGARA WAJAR FAHAMI PELBAGAI BUDAYA
USM, PULAU PINANG, 27 Mac 2016 – Demi minat terhadap seni mempertahankan diri Kung Fu, Nurafiqah binti Hamzah, 22, pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang berasal dari negeri Sarawak menjadi sebahagian dari ahli Kelab Kung Fu Universiti Sains Malaysia (USM) yang turut membuat persembahan pada Malam Kung Fu yang berlangsung malam kelmarin.
Nurafiqah berminat terhadap Kung Fu sejak kanak-kanak dan telah menyertai Kelab Kung Fu di bawah bahagian Shaolin sejak tahun ini, begitu gembira dan bangga dapat bersama-sama berlatih dan membuat persembahan dengan ahli-ahli lain tanpa mengira kaum.
Siti Nurassyifa binti Mohd Rodzi, 22, pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang berasal dari negeri Kedah pula berkata, minatnya dalam bidang ini telah mendorongnya menyertai bahagian Tai Ji di bawah Kelab Kung Fu yang memberikan peluang kepadanya untuk menghargai seni mempertahankan diri.
"Hubungan kami adalah begitu mesra dan rapat walaupun sebahagian besar ahli adalah dari kaum Cina," kata Siti Nurassyifa yang ingin terus bersama kelab ini hingga tamat pengajian.
Pengarah Projek Chan Zi Qi menjelaskan, Kelab Kung Fu tidak ditubuhkan khas untuk kaum Cina, malah, warisan seni budaya ini juga diperkenalkan kepada kaum lain sebagai satu peluang untuk menikmati pengalaman yang berbeza.
Hal ini bertepatan dengan hasrat universiti untuk menggalakkan kefahaman antara budaya termasuk dalam kalangan pelajar pelbagai kaum dan negara.
Menurut Pengarah Pejabat Kolaborasi Antarabangsa USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong yang merasmikan Malam Kung Fu USM, Kelab Kung Fu misalnya bersifat multi-etnik dan diharapkan lebih ramai pelajar USM termasuk pelajar antarabangsa menyertainya.
Acara tersebut yang bertema “Zero to Hero” telah mendapat sambutan hangat dengan lebih 2,000 orang penonton yang berbilang kaum membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra USM.
Yang turut hadir ialah Penasihat Kelab Kung Fu USM yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr. Yuen Kah Hay.
Text: Elezise Oh Ming Han (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1097