KAMPUS SEJAHTERA KOMITED ANJUR EARTH HOUR
USM, PULAU PINANG, 27 Mac 2016 – Sekretariat Kampus Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) komited memacu kelestarian universiti ini dengan menganjurkan Program Earth Hour sebagai mekanisme USM menyokong kempen Earth Hour dunia, selari dengan hasrat universiti dalam memastikan kelestarian hari esok. Ini juga adalah sebahagian dari usaha memastikan tahap pemanasan global dihadapi bersama.
Demikian kata Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Tekun Universiti Sains Makaysia (USM), Siti Zurianah Ismail ditemui ketika Program Earth Hour 2016 di Padang Kawad malam tadi. Siti Zurianah berharap agar penganjuran program-program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pihak khususnya pada peringkat universiti.
“Secara jujurnya, penganjuran seumpama ini mampu membawa kepada kebaikan dari segi penglibatan para pelajar dalam memberi sokongan bagi mengatasi masalah pemanasan global. Saya menyeru kepada semua pelajar untuk bersama-sama menjaga kelestarian tenaga untuk kebaikan masa hadapan,” kata Siti Zurianah.
Sementara itu, YDP Kampus Sejahtera USM, Nurulain Syahirah Rosli menzahirkan penghargaan kepada semua yang mengambil bahagian dengan sokongan dan kerjasama rapat pelbagai pihak termasuk dari dalam kalangan para pegawai universiti yang memberikan bantuan dalam menjayakan Program Earth Hour ini.
“Program ini sebenarnya bertujuan menyampaikan keprihatinan pelajar USM mengenai keperluan satu tindakan proaktif yang dilakukan bagi menangani isu pemanasan global.
"Kampus Sejahtera mengambil inisiatif mengadakan Program Earth Hour ini bagi mengajak warga USM bersama-sama menjimatkan elektrik demi kelestarian hari esok,” jelas Nurulain.
Sambutan Earth Hour diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pameran lukisan, pameran mural berhias dan sukaneka.
Anugerah Desasiswa Lestari dimenangi oleh Desasiswa Tekun yang dinilai melalui dua kriteria iaitu kadar peratusan bilangan penghuni desasiswa yang berjaya dikumpul untuk turun bersama-sama menyambut sambutan Earth Hour dan penilaian dari aktiviti kelestarian yang telah dilaksanakan sepanjang sidang.
Antara anugerah lain yang diberikan ialah Anugerah Kain Rentang Terbaik. Tempat pertama telah dimenangi oleh Open Group, tempat kedua Desasiswa Indah Kembara, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Desasiswa Restu.
Turut diadakan ialah acara Larian Earth Hour USM 2016 yang bertemakan “Hijau” dengan disertai oleh kira-kira 641 orang peserta.
Teks: Nur Qutreen Nada Mahamud (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1062