KEPIMPINAN BERINTEGRITI DAN BERDEDIKASI TONGGAK KEJAYAAN
PULAU PINANG, 27 Mac 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dato' Dr. Omar Osman menyeru kepada semua ahli-ahli PALAPES Laut supaya menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi dan berintegriti dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan.
"Seorang pemimpin itu harus mempunyai sikap ataupun nilai integriti dalam diri supaya negara dapat melahirkan generasi pelapis yang berdaya saing dan berdisplin selain semangat kecintaan yan tinggi pada negara," tambahnya yang juga merupakan Pengerusi PALAPES USM.
Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Rekreasi PALAPES Laut, Irfan Afif ihsan berkata, majlis pada malam ini adalah sempena dengan meraikan Pegawai Kadet Kanan pengambilan ke-27 yang akan ditauliahkan pada Ogos depan dan juga menyambut kedatangan ahli-ahli dari mahasiswa tahun pertama.
Menurut Irfan, segala persiapan dan persembahan malam ini yang bertemakan 'Inferno Sonata' dilaksanakan oleh mahasiswa tahun pertama PALAPES Laut USM.
"Saya berharap PALAPES Laut USM akan terus memimpin serta mencapai kejayaan dari aspek pasukan pakaian seragam universiti dalam menaikkan nama USM ke tahap yang lebih tinggi dan juga tidak dilupakan kecemerlangan akademik para ahli-ahli," tambah pelajar Sains Matematik tahun 3 ini.
Seramai 200 orang hadir dalam majlis makan malam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia Universiti Sains Malaysia yang berlangsung di Hotel The Royale Bintang Pulau Pinang kelmarin.
Turut hadir adalah Datin Noraizan Jamaludin dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof. Dato' Dr. Muhamad Jantan dan isteri.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Koshigan Arumugam
- Created on .
- Hits: 1226