USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DEKATI MASYARAKAT ORANG ASLI

Jalong DSC4557

SUNGAI SIPUT, 26 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Jawatankuasa Maal Hijrah dan Maulidur Rasul, Pusat Islam Kampus Kejuruteraan turut memainkan peranan  mendidik  Orang Asli suku Kaum Temiar di Kampung Landap, Sungai Siput di sini.

Program dua hari itu merupakan kunjungan kali kedua pasukan yang menggelarkan mereka sebagai Team My Pusat Islam melibatkan staf dari pelbagai latarbelakang dan bidang yang berbeza-beza. Menurut Pengarah Projek Zabri Daud, program tersebut bertujuan untuk berkongsi rezeki dan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT selain ingin bersaudara dan bersama-sama dengan penduduk asli mengimarahkan surau yang baharu dibina.

“Kami sangat bersyukur dengan perubahan yang jelas ditunjukkan oleh masyarakat Orang Asli di sini contohnya dari segi mengenakan pakaian yang menutup aurat dan semangat untuk mendalami ajaran Islam," kata Zabri.

Jalong DSC4375

Tambahnya, antara pengisian pada program tersebut ialah solat berjemaah, tahlil, tazkirah pertandingan azan, wuduk dan bacaan solat, program gotong royong memasak, pemeriksaan kesihatan dan sukaneka ukhwah.

“Program sebegini tentunya dapat mendekatkan warga universiti dalam pendidikan yang berupaya menyumbang bakti kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Pengarah Pusat Islam, USM, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh yang hadir bersama isteri merasmikan pelancaran Tabung Dewan Ilmu untuk kegunaan masyarakat kampung berkata, dengan adanya program tersebut, warga USM dapat melihat pelbagai bantuan yang lebih berkesan yang boleh diberikan.

“Masyarakat Orang Asli sudah maju dan ini telah terbukti dengan lahirnya ramai ilmuan serta cendekiawan dalam kalangan mereka," jelasnya.

Jalong DSC4398

Beliau berkata, selain daripada itu, usaha perlu diteruskan dengan memberi fokus kepada pencapaian pendidikan dengan membawa anak-anak masyarakat Orang Asli  untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti.

Sementara itu, pendakwah bebas, Wan Mas Indra Juja, 33, yang ditemui berasa gembira kerana program bersama komuniti Orang Asli itu sedikit sebanyak dapat menyedarkan mereka tentang cara hidup yang dituntut dalam Islam.

“Program bersama komuniti Orang Asli merupakan satu pendekatan baik yang boleh diambil yang menggabungkan pelbagai kepakaran untuk melibatkan diri dengan masyarakat di pedalaman," kata Naib Kadi bagi masyarakat orang asli yang beragama Islam di kawasan tersebut.

Beliau yang merupakan penduduk asal Kampung Landap berkata, masyarakat Orang Asli mempunyai potensi tinggi untuk berjaya dalam bidang pendidikan jika diberi didikan dan pendedahan yang berterusan.

Wan Mas Indra yang memeluk Islam ketika berusia 17 tahun turut menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakatnya sendiri.

“Bagi saya, tidak ada jalan mudah untuk berjaya selain daripada bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu," katanya yang mendapat pendidikan selama lima tahun di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP).

Yang hadir sama dalam majlis penutup program ialah Pengarah, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) yang juga merupakan Pengerusi, Kelab Sukan dan Kebajikan Staf Kejuruteraan (KKSSK), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Timbalan Pengarah Pusat Islam, USM,  Haji Md Yusof Abdul Rahim dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Daerah Kuala Kangsar,  Che Maznah Mohd Yusof.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 842

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024