USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, UMK, UMP LAKSANA PROGRAM NBOS KPT

1459139114671

BACHOK, KELANTAN, 26 MAC 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan menyertai program khidmat komuniti di Dataran Pantai Bachok bersama-sama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini.

Program ini adalah dalam kerangka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 8 iaitu menyepadukan hubungan pelajar universiti bersama komuniti dengan melaksanakan program kesukarelawanan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin, Kementerian Pengajian Tinggi telah menyarankan institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk mewujudkan program yang akan menyerlahkan identiti mereka sebagai agen transformasi masyarakat.

1459139115193

"IPT disarankan melaksanakan perkongsian pintar rentas bidang yang mempunyai hubung kait dengan masyarakat, relevan dan memberi impak positif kepada komuniti berkenaan serta mewujudkan pemindahan ilmu dan perkhidmatan kepada masyarakat," jelas Yusserie.

Tambahnya, hasil kesepakatan antara IPT, maka salah satu aktiviti yang dilaksanakan pada hari ini membuktikan bahawa IPT bukan hanya tempat gedung ilmu bagi mahasiswa namun juga medan untuk berbakti kepada masyarakat.

Program ini menghimpunkan pelbagai agensi yang bernaung di bawah KPT dengan  menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan oleh staf dan penuntut perubatan USM, pameran keusahawanan oleh pihak UMK dan taklimat kerjaya oleh UMP.

Turut dilakukan ialah khidmat menggunting rambut secara percuma oleh pelajar Kolej Komuniti Kok Lanas, pemeriksaan percuma kenderaan bermotor oleh pelajar Polikteknik Kota Bharu dan sebagainya.Pengurus Pusat Transformasi Bandar (RTC) Bachok, Rosliza Abdullah berkata, program khidmat komuniti tersebut merupakan salah satu tumpuan teras bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di luar bandar dengan memberi pelbagai pendedahan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

1459139116450

 

"Rata-rata penduduk yang hadir pada program seumpama ini adalah daripada mereka yang berpendapatan rendah, program seperti pemeriksaan kesihatan oleh USM mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar," katanya.

Bagi pengunjung Esah Jusoh, sejak dua minggu lepas mendapat berita mengenai program ini menjadikannya tidak sabar untuk hadir pada hari ini bagi mendapatkan rawatan pergigian oleh Hospital USM kerana tidak berpeluang untuk ke Hospital USM memandangkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk bergerak jauh.

Program yang berlangsung selama satu hari ini berfokuskan kepada ‘Health For Malaysian’ (HFM) berjaya menarik kira-kira 500 pengunjung.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Abd Aziz Latiff

  • Created on .
  • Hits: 769

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024