USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUAL BICARA KUPAS CABARAN PEMBANGUNAN NEGARA MASA HADAPAN KEPADA MAHASISWA

IMG 20160326

USM PULAU PINANG, 26 Mac 2016 - Kini masyarakat perlu tahu tentang isu pembangunan di Malaysia secara keseluruhannya yang menyentuh isu-isu semasa seperti keadaan ekonomi, mata wang, pengangguran dan lain-lain yang perlu diberi perhatian.

Demikian antara pengisian program Bual Bicara Hala Tuju Pembangunan Negara 3.0 kelmarin di Dewan Pembangunan Siswa 2 USM yang menampilkan 2 ahli panel iaitu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pulau Pinang Tuan Ahmad Lutfi Ibrahim dan Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM Dr. Musa Ali.

Menurut Musa, mahasiswa perlu bersedia berhadapan dengan keadaan pembangunan negara serta ekonomi yang tidak menentu kebelakangan ini.

"Mahasiswa perlu segera menukar 'perancangan kepada tindakan' dan perlulah sentiasa bersikap proaktif dalam setiap perkara yang dilakukan," katanya yang juga merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia USM.

Musa juga banyak berkongsi dan menyentuh perkara berkaitan sumber manusia terhadap pembentukan mahasiswa masa kini.

Sementara itu bagi Ahmad Lutfi pula, peranan JASA dalam pembangunan di Pulau Pinang menjadi agenda perkongsian beliau yang banyak menceritakan bentuk kerjasama di antara kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan kerajaan persekutuan.

Bagi pelajar yang juga moderator program, Khairul Hafez Yunus @ Hamid, program ini adalah satu platform yang terbaik untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa dari pelbagai aspek dan sekaligus memberi pendedahan awal mahasiswa untuk bersedia menghadapi cabaran akibat pembangunan negara yang semakin pesat.

Tambah Hafez, program ini adalah lebih berfokus kepada makluman untuk mahasiswa supaya lebih bersedia menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar.

Seramai 200 pelajar terdiri daripada ahli akademik serta pegawai USM hadir ke program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kelab 3P (Perancangan, Pengurusan, Pembangunan) dan MyCSD.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 904

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024