KISHVA USAHA BANTU BELIA KOMANWEL
USM, PULAU PINANG, 25 Mac 2016 – Minat dalam kepimpinan sejak dari zaman sekolah lagi telah mendorong alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Kishva Ambigapathy, 25, untuk menjadi Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) bagi penggal 2015-2017.
Menurut Kishva, minatnya berputik semasa menjadi pustakawan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang.
“Penyertaan aktiviti di luar kelas dan ko-kurikulum di sekolah banyak membantu saya untuk menjadi diri saya sekarang dan minat ini semakin mendalam apabila saya meneruskan pelajaran ke peringkat matrikulasi dan menjadi wakil pelajar di sana.
“Selain itu, peluang untuk saya melibatkan diri dalam bidang kepimpinan semakin tinggi apabila saya menyertai Majlis Perwakilan Pelajar selama tiga penggal di USM. Pengalaman inilah yang telah mendorong saya untuk menjadi Pengerusi CYC,” ujar beliau.
Peranan sebagai Pengerusi CYC sebenarnya adalah satu langkah yang berani bagi Kishva disebabkan penyertaannya sebagai ahli CYC masih lagi baru.
“Ia merupakan langkah yang besar kerana saya baru sahaja dilantik menjadi ahli CYC pada Januari dan kemudian terus bertanding untuk menjadi pengerusi pada bulan November 2015. Tetapi ia tetap diteruskan untuk berkongsi polisi dan pengetahuan yang kita ada ke seluruh dunia,” tambah beliau.
Mewakili suara bagi 1.2 bilion remaja seluruh dunia, Kishva berharap remaja tidak menghadkan diri mereka untuk mengejar impian terutamanya sumbangan yang besar terhadap komuniti.
“Ia merupakan satu kepuasan untuk saya sekiranya dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat sekaligus memberikan impak positif terhadap kehidupan mereka kerana matlamat saya adalah untuk membantu masyarakat,” tambah beliau.
Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 908