USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KREDIBILITI DAN KEMAHIRAN TINGKATKAN PELAJAR TVET

DSC 0156

PUTRAJAYA, 16 Mac 2015 – Kredibiliti para pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan penekanan aspek kemahiran oleh para pensyarah Politeknik Port Dickson (PPD) akan meningkatkan akses pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) di peringkat lebih tinggi dan menyumbang kepada aspirasi transformasi politeknik dalam menghasilkan modal insan secara lestari.

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika berucap di majlis penandatangan Memorandum Perjanjian  (MoA) di antara USM dan PPD bagi menawarkan program Sarjana Muda Sains Perumahan, Bangunan dan Perancangan [PBP] (Kepujian) secara pesisiran di PPD.

“Pada masa kini, setiap pelajar perlu mempunyai kemahiran  yang tinggi dalam pelbagai bidang namun kemahiran sahaja tidak dapat menghasilkan pelajar yang kompetitif di dalam pasaran pekerjaan.

“Melalui persefahaman ini, para pelajar PPD akan mengikut struktur pengajian program PBP sama seperti pelajar di USM manakala tempat pengajian adalah di PPD seperti mana USM menjalankan program pesisiran dalam bidang perubatan di KLE Belgaum India,” tambah Omar.

DSC 0159

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar jalinan kerjasama dengan universiti APEX pertama negara ini dapat meningkatkan kecemerlangan para pelajar politeknik amnya dan PPD khususnya.

“Politeknik juga telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi lain mengikut bidang tujahan masing-masing serta kerjasama dengan universiti antarabangsa,” tambah Mohlis.

“Melalui kerjasama dengan USM saya berharap dapat meningkatkan bidang tujahan PPD iaitu bidang Senibina serta meningkatkan secara berterusan penghasilan modal insan yang mahir dalam sektor industri negara,” ujar Mohlis.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Dato’ Profesor Asma Ismail yang mewakili Ketua Setiausaha II KPM, Dato’ Seri Ir. Zaini Ujang dan Dekan Pusat Pengajian PBP USM, Profesor Madya Dr Aldrin Abdullah.

Berucap di majlis yang sama, Asma berkata pada masa kini negara memerlukan seramai 1.3 juta  modal insan yang berkemahiran selain yang berpendidikan tinggi dalam bidang masing-masing.

DSC 0163

“Pelaksanaan program sebegini dapat meningkatkan lagi TVET ke tahap yang lebih tinggi disamping dapat mengembangkan pengambilan pelajar dalam pelbagai bidang,” tambah Asma.

Asma juga mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak yang telah mengorak langkah dalam penawaran kursus-kursus pengajian dalam bidang kritikal negara.

Seramai 30 orang pelajar akan diambil untuk mengikuti program ini pada sidang akademik 2015/2016 September ini.    Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 1931

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024