USM SEDIA LANDASAN PELAJAR BEKERJA DI LUAR NEGARA
USM, PULAU PINANG, 24 Mac 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat melahirkan pelajar yang berminda global dan mampu menerjah pasaran pekerjaan dunia untuk memenuhi dunia pekerjaan yang kian mencabar berdasarkan tema APEX 2020 “Merealisasikan Universiti Global”.
Demikian kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Sesi Ramah Mesra Pengurusan Tertinggi Universiti Bersama Pemimpin Pelajar malam tadi di Anjung Budi USM.
Sesi Ramah Mesra ini bertujuan mengeratkan hubungan antara pengurusan tertinggi USM dengan pemimpin pelajar di samping membincangkan isu-isu terkini pihak pengurusan USM untuk disampaikan kepada pemimpin pelajar.
Omar berkata, berlaku anjakan yang besar dalam pengurusan universiti apabila terdapat pengurangan dana dari sumber kerajaan menyebabkan USM terpaksa melakukan perubahan dengan cuba mengoptimumkan sumber dan perbelanjaan tanpa menjejaskan pembelajaran pelajar.
“Fungsi Pusat Kerjaya juga telah diselaraskan dengan pejabat antarabangsa sebagai Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya atau dalam bahasa Inggerisnya International Mobility and Career Centre (IMCC) sebagai landasan kepada pelajar USM bekerja dan bersaing di luar negara dengan penyediaan kemudahan infrastruktur yang bersesuaian,” katanya.
Tambahnya lagi, USM telah melancarkan Pelan APEX 2020 dengan strategi objektif pertamanya adalah berorientasikan pelajar dengan menetapkan tiga strategi untuk mencapainya iaitu memperkasakan bakat pensyarah dan pelajar, meningkatkan kesohoran penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa, serta memastikan USM sebuah universiti global.
Omar berkata, pelajar USM turut aktif dalam berpersatuan apabila banyak terlibat dalam aktiviti komuniti khususnya dalam program kesukarelawan, program pimpin siswa lestari, dan program kampus sejahtera. Program ini memperlihatkan daya kepimpinan pelajar USM dalam menganjurkan program dan menjana dana sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada Universiti.
“Dalam tempoh lima tahun, USM mampu berkembang dengan pesat dan berdaya maju berbanding universiti lain apabila pelajar boleh mengambil dua ijazah secara serentak untuk membolehkan graduan USM lebih berdaya saing dalam mendapatkan pekerjaan,” jelasnya.
Beliau menyeru pelajar USM untuk melihat dan menetapkan matlamat yang akan dicapai pada masa hadapan kerana maklum balas positif dari majikan graduan akan membantu melonjakkan prestasi dan imej USM di samping mencerminkan pelajar USM mempunyai matlamat dan pandangan tersendiri.
Yang turut hadir ialah ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Cnselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Penggawa desasiswa, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Tertinggi Majlis Penghuni Desasiswa (Kampus Induk dan Kejuruteraan).
Teks & Foto: New Gaik Siew (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 1006