USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAYI TGA PERTAMA BERJAYA DIBEDAH DI HOSPITAL USM

1458899254865 1079927866

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mac 2016 – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang disahkan menghidap penyakit jantung, selamat menjalani pembedahan ‘Transposition of the Great Arteries’ (TGA) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) baru-baru ini.

Bayi lelaki berkenaan, Aqil Asfar Khairul Izwan, dikesan menghidap penyakit jantung yang dikategorikan kes TGA apabila kedudukan arteri besar iaitu aorta terkeluar dari ventrikel kanan dan arteri pulmonari terkeluar dari ventrikel kiri ketika berusia 18 hari.

Menurut ibunya, Hafizal Irda Mohd Sapie, 35, bayinya itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 2 Mac 2016 sebelum dirujuk kepada doktor pakar di Hospital USM kerana mengalami simptom yang berulang.

“Saya mengambil keputusan untuk membawa bayi saya ke hospital kerana risau apabila dia mengalami simptom tidak dapat tidur malam, bernafas laju, dan tidak mahu menyusu seperti biasa.

“Selepas mendapat rawatan di HSNZ, doktor memaklumkan bahawa bayi saya perlu dibedah segera dan pembedahan bagi kes TGA hanya dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Serdang sahaja,” jelasnya.

 

Hafizal berkata, satu keajaiban baginya apabila dia mendapat panggilan telefon dari hospital USM memberitahu bayinya terpilih untuk menjalani pembedahan dalam masa terdekat oleh pakar jantung kanak-kanak dari United Kingdom di Hospital USM.

“Pada awalnya, saya berasa kurang yakin tentang pembedahan ini kerana telah diberitahu hanya IJN dan Hospital Serdang sahaja yang boleh menjalankan pembedahan bagi kes-kes seperti anak saya.

“Namun, memikirkan senarai menunggu bagi kes yang sama di IJN agak panjang, saya kemudiannya bersetuju untuk membawa bayi saya ke Hospital USM bagi menjalani pembedahan tersebut,” ujarnya lagi.

Pembedahan TGA berjaya dijalankan selepas Hospital USM menerima kepakaran sepasukan doktor pakar bedah jantung kanak-kanak yang dibiayai sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan badan amal ‘Healing Little Heart’ (HLH) bagi melakukan pembedahan terhadap pesakit yang memerlukan.

Badan amal ini menghantar sepasukan doktor pakar untuk menyumbang kepakaran mereka dalam memberi perkhidmatan pembedahan Kardiotorasik Pediatrik kepada pesakit jantung kanak-kanak yang dirujuk ke Hospital USM selain memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada pasukan perubatan Hospital USM.

Teks / Foto: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel, Nuradlin Syafini Nawi (Pelajar Intership UiTM) dan Wan Nurul Azreen Wan Abdul Aziz (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1216

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024