USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DR. GESHINA AYU MAT SAAT DILANTIK PEMERHATI PUSAT ANTI KEGANASAN ANTARABANGSA

IMG 20160324 WA0006

USM, PULAU PINANG, 24 Mac 2016 – Pakar psikologi dan kriminologi Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Geshina Ayu Mat Saat, 40,  dilantik sebagai pemerhati untuk program-program antarabangsa dalam menangani isu keganasan oleh "South East Asia Regional Centre for Counter Terrorism" (SEARCCT).

Geshina Ayu  dilantik sebagai pakar rujuk pembangunan Kluster Psikologi & Keselamatan oleh Kementerian Dalam Negeri  sebelum berkerjasama dengan SEARCCT sejak tahun  lalu.

Beliau yang  masih berada di Semarang Indonesia dijemput berbincang ancaman keganasan Islamic State (IS) serta mengikuti sesi latihan khas dua minggu yang diadakan di sana yang dianjurkan oleh pihak dari New Zealand, Kanada, England dan Indonesia.

"Ini merupakan penghormatan dan pengiktirafan terhadap kepakaran kita dengan diminta menyertai mana-mana misi yang diperlukan bila-bila masa dan di mana sahaja yang perlu," kata Geshina Ayu.

IMG 20160324 

Semasa di Semarang, beliau turut dijemput untuk membantu menyumbangkan kepakaran untuk program komuniti polis dengan melawat beberapa buah sekolah di sana.

"Saya dapat melihat dari dekat bagaimana pasukan polis tempatan Indonesia dan universiti tempatan  terlibat dalam projek komuniti percuma yang melibatkan 32 buah sekolah untuk menangani masalah sosial dalam kalangan remaja sambil membuat penilaian psikologi dan pro-delinkuen yang disertai oleh 120 orang penilai secara sukarela," katanya.

Jelasnya, mereka membuat penilaian dan pencegahan awal secara serentak yang melibatkan lebih 500 orang kanak-kanak yang menjadi mangsa buli malah juga dalam kalangan mereka yang menjadi pembuli.

Menurut Geshina Ayu lagi, usaha ini wajar dipuji kerana masalah yang sama turut berlaku dalam institusi pendidikan Malaysia yang tidak jauh berbeza dengan pengalaman di Indonesia.

IMG 20160324 WA0007

"Peranan ibu bapa dan guru penting dalam menangani isu ini, bukan hanya ibu atau guru malah kesemuanya, justru usaha mewujudkan program 'family schooling' wajar diadakan untuk tujuan tersebut," katanya lagi.

Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1319

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024