USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARI AIR SEDUNIA: KEKURANGAN SUMBER AIR CABARAN DUNIA MASA KINI DAN MASA HADAPAN

IMG 5537ghjh

PULAU PINANG, 23 Mac 2016 – ‘World Water Day’ atau Hari Air Sedunia yang disambut pada setiap 22 Mac adalah untuk menyedarkan tentang  kepentingan air kepada tamadun manusia dan alam sekitar sebagai sebahagian daripada aktiviti Dekad untuk Air oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurut pakar Pengurusan Sumber Air yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Profesor Dr. Chan Ngai Weng, kajian menunjukkan pada tahun 2035, terdapat seramai tiga billion bayi yang memerlukan air untuk hidup.

Walau pun kuantiti air tidak berkurangan sejak manusia mendiami bumi pada 4.5 billion tahun lalu, namun populasi dunia bertambah dengan pesatnya.

IMG 5538ghj

IMG 5541fh

“Kita seharusnya meningkatkan kesedaran diri secara individu dan masyarakat untuk bersama menjimatkan penggunaan air dalam kehidupan seharian,” kata penerima "Asia Water Management Excellence Awards 2010" itu.

Beliau yang digelar ‘Malaysia’s Waterman’ turut menggalakkan masyarakat supaya lebihkan memakan sayur kerana penggunaan air di dalam sayur adalah sangat sedikit berbanding dengan daging, mengambil kira proses pembesaran lembu dari kecil yang memerlukan air untuk jangka masa yang lama sehingga menjadi daging sebagai sumber makanan.

Jelasnya lagi, dianggarkan seramai 1.4 billion manusia di bumi pada masa kini tidak mendapat bekalan air bersih seperti di India dan Filipina.

“Sementara itu, di peringkat USM, saya mencadangkan kepada Naib Canselor USM agar kerjasama bersama kampus sejahtera dapat dijalankan untuk menubuhkan pasukan ranger air yang bertugas mengawal kecekapan penggunaan air di dalam setiap tandas universiti,” katanya ketika menyampaikan siri syarahan anjuran Kampus Sejahtera USM yang bertajuk ‘Libatsama Komuniti dalam Pengurusan Sumber Air – Mimpi atau Kenyataan’ di sini, malam tadi.

Bertemakan ‘Air dan Pekerjaan’ pada tahun ini,  kira-kira 1.5 juta orang bekerja di dalam pekerjaan yang mempunyai kaitan dengan air dan hampir seluruh pekerjaan bergantung pada air.

 

Bagi Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, sambutan hari air sedunia adalah simbolik kepada setiap manusia di dunia supaya lebih menghargai air.

“Di REDAC, setiap peringkat pekerja mempunyai satu inisiatif untuk menjadikan pekerjaan ini sebagai hobi. Saya sendiri yang mempunyai minat dalam bidang saliran air menjadikan pekerjaan di REDAC ini sebagai satu platform untuk saya lebih mendalami bidang ini,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Nor Azazi, REDAC telah menjayakan projek pilot sistem saliran mesra alam di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal yang memberi ketenangan dan dapat dirasakan kelainannya oleh mereka yang berada di sekitarnya.

Selain daripada itu, REDAC yang merupakan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) Teras Perkhidmatan yang pertama di negara ini dalam bidang Pengurusan Saliran Bandar Lestari juga telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan beberpa projek berkaitan dengan saliran air oleh Jabatan Kerja Raya.

“REDAC bersedia memikul tanggungjawab ini terutamanya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai, melakukan kerja-kerja perundingan dan berkongsi kepakaran jika diberi peluang oleh pihak berkuasa mahupun mana-mana agensi yang berminat,” kata Nor Azazi.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1082

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024