15 PELAJAR USM TERIMA BIASISWA USAINS HOLDING
PULAU PINANG, 13 Mac 2016 – Seramai 15 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menerima penajaan biasiswa daripada USAINS Holding untuk sepanjang tempoh pengajian di USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata biasiswa itu merupakan satu anugerah yang besar kepada pelajar-pelajar yang menerimanya untuk menamatkan pengajian di USM.
“Saya mengharapkan mereka dapat menamatkan pengajian dengan baik dan boleh menyumbangkan tenaga kepada pembangunan negara dan mungkin juga USAINS Holding dapat mengambil mereka untuk bekerja di syarikat ini dan memajukan lagi USAINS Holding,” jelasnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan USAINS Holding kerana bermurah hati untuk memberi biasiswa kepada 15 pelajar USM untuk tahun ini dan juga tahun-tahun akan datang.
Pengarah Urusan USAINS Holding Sdn Bhd, Edwin Jose Gomes berkata pemberian biasiswa tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk syarikat itu.
“Sememangnya menjadi dasar dan tanggungjawab kami di sektor korporat melibatkan diri dalam tanggungjawab sosial bagi membantu mereka yang memerlukan. Dengan cara ini, ia akan memupuk keseimbangan dalam ruangan komuniti kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Penganugerahan Biasiswa USAINS Holding di sini semalam.
Beliau berkata dengan sokongan dan kolaborasi daripada USM, beliau berharap USAINS Holding akan sentiasa menjadi peneraju kepada tanggungjawab sosial di USM.
Katanya beliau berharap dana USAINS Holding yang mencecah nilai sehingga RM780,000 ini akan membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan dan berkelayakan.
Pada majlis itu, seramai 15 pelajar, masing-masing dari Pusat Pengajian (PP) Ilmu Pendidikan, PP Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, PP Sains Perubatan, serta beberapa lagi PP yang lain menerima biasiswa dalam dua kategori iaitu untuk biasiswa kecemerlangan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan ko-kurikulum semasa di peringkat sekolah menengah dan juga biasiswa kepada pelajar cemerlang kurang berkemampuan.
Biasiswa ini disampaikan oleh Pro-Canselor USM merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.
Bagi penerima biasiswa, Christina Rezuan, 20, sememangnya biasiswa ini amat membantu dari segi pembelajarannya di USM memandangkan anak kelahiran Sarawak ini berjauhan dari keluarga dan memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pembelajarannya di USM.
“Saya menerima biasiswa bagi kategori pelajar kurang berkemampuan. Saya berharap dengan adanya biasiswa ini akan dapat membantu meringankan beban keluarga saya di Sarawak tanpa perlu menyusahkan mereka di sana,” katanya yang kini menuntut di tahun pertama di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
Perkara yang sama turut dikongsi oleh Muhammad Khuzaimi Aziz, 19, dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang turut merasa bertuah dipilih antara penerima biasiswa bagi pelajar cemerlang.
“Saya bersyukur dipilih untuk menerima biasiswa ini dan akan berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh di samping akan memperkenalkan USAINS Holding ini kepada masyarakat luar kerana tidak ramai pelajar USM sendiri mengetahui tentang peranan USAINS Holding dalam membantu USM menjana kewangan,” jelas anak jati Pulau Pinang ini.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1305