SEMUA PIHAK PERLU BERUSAHA TINGKATKAN NAMA USM
USM, PULAU PINANG, 21 Mac 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) disarankan agar mendedahkan segala kejayaannya secara berterusan melalui pelbagai medium sama ada media tradisional atau baru bagi meningkatkan visibilitinya kepada masyarakat luar.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya, usaha mempromosikan USM perlu dilakukan secara berterusan kepada masyarakat malah beliau turut berbuat demikian melalui setiap karyanya termasuk dalam bidang penulisan dan karya yang digarapnya.
“Saya sentiasa memakai tali leher USM ketika terlibat dalam sebarang urusan rasmi bagi memperlihatkan kepada masyarakat bahawa saya merupakan lulusan USM dan di dalam setiap kejayaan yang saya perolehi saya bawa bersama nama USM,” kata Chamil yang juga alumni Doktor Falsafah USM.
Beliau juga menjelaskan dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelajar tempatan dan antarabangsa ke USM juga boleh dilakukan melalui hubungan rapat dengan organisasi berita luar agar hubungan dua hala dapat diteruskan.
“Pendedahan mengenai USM dapat dihebahkan kepada masyarakat luar melalui kredibiliti ahli akademiknya yang telah meraih berbagai kejayaan terutamanya dari aspek penyelidikan.
“Golongan pakar sebegini seharusnya ditonjolkan kewujudannya kepada umum agar dapat menjamin kedudukannya serta menyedarkan masyarakat akan kehebatan dan kejayaan USM pada masa kini,” katanya.
Tambah Chamil, antara keunikan USM yang menjadi aura utama dalam menarik lebih ramai pelajar adalah ekosistem pembelajarannya yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu dan diteruskan hingga ke hari ini.
“Ekosistem pembelajaran USM berada pada tahap yang sangat memuaskan setaraf dengan status APEX. Ia juga termasuk tenaga akademik yang komited dalam pengajaran dan pembelajaran, kemudahan infrastruktur seperti perpustakaan, kafe, bas dan juga kemudahan kediaman pelajar yang memuaskan,” jelasnya.
Beliau juga percaya dalam usia menghampiri 50 tahun kewujudannya, USM sebagai universiti awam kedua di negara ini telah melalui perkembangan yang amat dinamik dan membanggakan dalam pencapaiannya.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 689