PPMUSM USAHA BANTU REMAJA SEKOLAH
USM, PULAU PINANG, 23 Mac 2016 – Persatuan Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat Universti Sains Malaysia (PPMUSM) akan menganjurkan Program Mahasiswa Turun Sekolah (MTS) pada 25 dan 26 Mac ini di SMK Taman Desa, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.
Menurut Pengarah Projek, Noor Zakiah Abdul Razak, PPMUSM dengan slogan ‘Daripada Masyarakat, Kepada Masyarakat’, projek ini seiring dengan saranan USM untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga dalam kemahiran insaniah.
“Objektif utama program ini adalah untuk membentuk jati diri dan mendidik pelajar sekolah menjadi seorang yang berpengetahuan dan mempunyai minda kelas pertama.
"Malah, program ini turut memberi peluang untuk mengasah bakat dan semangat kepimpinan dalam diri pelajar USM sendiri,” jelasnya.
Projek yang disertai 20 orang ahli PPMUSM itu akan berkongsi ilmu dan pengalaman dari latarbelakang bidang berbeza untuk berusaha memberi impak yang positif kepada pelajar selari dengan objektif program.
“Kami memilih tema ‘Remaja Pencetus Masyarakat Cemerlang’, dengan melihat kepada peranan remaja sebagai aset pembangunan untuk membina masyarakat yang cemerlang dan bebas dari masalah sosial sebagai tonggak pembangunan insan yang berkualiti,” jelasnya lagi.
Tambah Zakiah, MTS merupakan program tahunan yang dijalankan pada setiap sidang di seluruh Malaysia termasuk di kawasan pedalaman.
Pada kali ini, PPMUSM telah memilih sekolah SMK Taman Desa, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor dengan penyertaan 80 orang pelajar cemerlang tingkatan lima dan 100 orang pelajar yang terdiri daripada tingkatan dua hingga tingkatan lima.
“Antara pengisian yang akan dimuatkan dalam program ini ialah Program Champion yang memfokuskan pelajar tingkatan lima yang mempunyai tahap akademik yang cemerlang, Explores, aktiviti kepimpinan, malam kerohanian dan beberapa aktiviti dalam kumpulan,” tambah Zakiah, pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Pengurusan.
PPMUSM banyak melaksanakan program bersifat kepimpinan seperti ‘Mahasiswa Bersama Masyarakat (MBM)’, ‘Program Semaian Kasih’ dan ‘Kem Penggerak Masyarakat’ serta program ‘Kem Anak-anak Soleh (KASEH)’ dan forum kemanusiaan yang masih dalam perancangan pada tahun ini.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 853